Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

16 prasekolah rintis Program "Mission I’mPossible 2"; saring kanak-kanak dengan keperluan pembangunan seawal 2 bulan

Sebanyak 16 prasekolah di Punggol dan Sengkang, kendalian Yayasan Masyarakat PAP (PCF), akan terlibat dalam sebuah program perintis untuk menyaring isu-isu perkembangan kanak-kanak seawal dua bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
16 prasekolah rintis Program "Mission I’mPossible 2"; saring kanak-kanak dengan keperluan pembangunan seawal 2 bulan

Pusat jagaan kanak-kanak PCF Sparkletots. (Gambar fail: Lianne Chia/CNA)

SINGAPURA: Sebanyak 16 prasekolah di Punggol dan Sengkang, kendalian Yayasan Masyarakat PAP (PCF), akan terlibat dalam sebuah program perintis untuk menyaring isu-isu perkembangan kanak-kanak seawal dua bulan.

Program yang dipanggil "Mission I’mPossible 2" itu akan diuji cuba selama empat tahun.

Ia lanjutan kepada sebuah program perintis yang dijalankan sebelum ini untuk menyaring kanak-kanak berumur antara lima hingga enam tahun.

Program perintis itu, kini dikenali sebagai Program Sokongan Pembangunan dan Pembelajaran Sokongan (DS-LS), sudahpun dilaksanakan oleh Pemerintah dan ia disediakan di lebih 600 prasekolah untuk meliputi sekitar 40 peratus murid berusia antara lima hingga enam tahun.

Terdapat rancangan untuk memperluaskan DS-LS untuk meliputi 60 peratus prasekolah menjelang 2025 dan meningkatkan jumlah itu kepada 80 peratus "secara bertahap-tahap", menurut kenyataan media tersebut.

Program perintis itu berusaha untuk menyediakan sokongan kepada kanak-kanak dengan keperluan pembangunan pada peringkat lebih awal.

Sebuah Unit Pembangunan Kanak-kanak berasaskan sekolah akan ditubuhkan di PCF, terdiri daripada pasukan silang disiplin merangkumi ahli terapi, jururawat, anggota intervensi awal, pekerja sosial, pakar pemakanan dan pakar kurikulum yang akan meninjau-ninjau keadaan di prasekolah.

Sebuah rangkaian sokongan yang dikendalikan oleh para pekerja sosial prasekolah juga akan ditubuhkan. Selain itu, proses-proses baru bagi penyaringan pembangunan dan perkembangan sistematik dalam kanak-kanak juga akan diperkenalkan.

Program perintis itu dianjurkan bersama oleh PCF, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) serta Yayasan Lien.

Yayasan Lien menaja S49.27 juta daripada jumlah kos S$12.2 juta. Bakinya pula dibiayaI oleh PCF dan KKH.

Program tersebut bertujuan untuk menunjukkan "bagaimana pendidikan, khidmat jagaan kesihatan dan sosial boleh disepadukan serta disampaikan dalam masyarakat", menurut PCF, KKH dan Yayasan Lien dalam kenyataan media bersama.

Bagi kanak-kanak dengan keperluan pembangunan, sokongan boleh dihulurkan sebagai sebahagian daripada program itu atau mereka boleh dirujukkan kepada sebuah program sedia ada yang dibiayai pemerintah.

Kajian menunjukkan program prasekolah bermutu tinggi dan perhatian kepada pembangunan kanak-kanak pada peringkat awal kanak-kanak dikaitkan dengan "metabolik dan kesihatan mental lebih baik serta hasil akademik dan sosio-ekonomi dalam kehidupan pada kemudian hari," kata Pengarah Program MIP2, Profesor Madya Chan Yoke Hwee.

“Fasa awal kanak-kanak adalah tempoh di mana mereka begitu mudah terdedah dan juga peluang untuk mereka berkembang ... Oleh itu, adalah penting kanak-kanak yang mempunyai keperluan pembangunan dikenal pasti lebih awal dan diberikan intervensi serta sokongan awal,” kata Profesor Madya Chan, yang mempengerusikan Jabatan Perubatan di KKH.

"Bagi membolehkannya, KKH memanfaatkan pakar kami untuk menyokong penyampaian pendidikan, khidmat kesihatan dan sosial yang bersepadu melalui prasekolah di bawah 'Mission I’mPossible 2'.”

Satu kajian penilaian akan dijalankan di akhir program perintis selama empat tahun itu.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan