16 penumpang warga SG cedera selepas bas dalam perjalanan ke KL rempuh treler

(Gambar: Facebook/info.semasa)
JASIN: Enam belas penumpang warga Singapura yang menaiki bas ekspres, yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur mengalami kecederaan setelah bas mereka merempuh sebuah treler di Lebuh Raya Utara-Selatan di Jasin pada Isnin (28 Nov).
Bas tersebut sedang membawa 27 penumpang sebelum ia melanggar sebuah treler yang membawa muatan barangan kitar semula.
Demikian menurut seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari.
Beliau menambah bahawa pemandu bas ekspres itu dipercayai hilang kawalan kenderaannya, lalu menyebabkan bas tersebut merempuh treler.
Gambar-gambar yang tersebar online menunjukkan bas yang terlibat dalam kemalangan itu, dipercayai milik Starmart Express.
Tiada kematian atau kecederaan teruk dilaporkan menyusuli kemalangan tersebut. Para penumpang yang cedera hanya mengalami kecederaan ringan.
Encik Azwan berkata para penumpang yang cedera, "diberi rawatan awal" bagi kecederaan yang dialami.
Beliau menambah bahawa balai tersebut menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.57 pagi. Sebuah pasukan, yang terdiri daripada 17 kakitangan dari balai tersebut dikerahkan ke lokasi kemalangan tersebut.
Mediacorp sudahpun menghubungi Kementerian Hal Ehwal Luar (MHA) Singapura dan Starmart Express untuk mendapatkan kenyataan berhubung nahas tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.