Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

158 orang disiasat disyaki terlibat dalam kegiatan pemiutang wang haram

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 158 orang sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.

Mereka berusia 15 hingga 72 tahun, kata polis dalam satu kenyataan pada Selasa (6 Jun).

Pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan tujuh divisyen polis darat melakukan serbuan serentak di seluruh pulau antara 29 Mei dengan 1 Jun.

Siasatan awal mendapati 10 orang dipercayai melakukan gangguan di kediaman peminjam.

48 lagi suspek dipercayai terlibat dalam peranan mengutip dan menyampaikan wang tunai serta membantu dalam perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dengan  memindahkan wang di Mesin Tunai Automatik (ATM).

Baki 100 suspek dipercayai telah membuka akaun bank dan memberikan kad ATM, nombor pengenalan peribadi atau token perbankan Internet mereka kepada peminjam wang tanpa lesen.

Siasatan polis masih dijalankan.

Di bawah Akta  Pemiutang Wang 2008, pesalah yang menjalankan atau membantu dalam satu perniagaan meminjamkan wang tanpa lesen boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda antara S$30,000 dengan S$300,000, dan disebat sehingga enam kali.

Mereka yang didapati bertindak bagi pihak peminjam wang tanpa lesen dengan menjalankan atau cuba melakukan sebarang gangguan boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda antara S$5,000 dengan S$50,000, dan disebat antara tiga dengan enam kali.

Polis berkata mereka akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mereka yang terlibat dalam pinjaman wang tanpa lesen, tanpa mengira peranan mereka.

Ini termasuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membuka atau memberi akaun bank mereka untuk membantu peminjam wang tanpa lesen.

“Peminjam wang tanpa lesen semakin menggunakan mesej teks atau platform online untuk menghantar iklan pinjaman tanpa diminta. Orang ramai diingatkan supaya tidak melayan atau membalas iklan sedemikian dan melaporkan mesej ini sebagai satu penipuan,” kata polis.

Orang ramai boleh menghubungi polis di talian 999, atau talian hotline X-Ah Long di 1800-924-5664 untuk melaporkan sebarang kegiatan peminjam wang tanpa lesen.

Sumber : Today/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan