Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

157 individu disiasat bagi kes penipuan melibatkan lebih S$2 juta

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 97 lelaki dan 60 wanita berusia antara 16 dengan 71 tahun kini membantu polis dalam siasatan kerana disyaki terlibat dalam lebih 495 kes penipuan.

Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan pada Jumaat (11 Feb), menyatakan 157 orang itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan selama dua minggu untuk membanteras penipuan sebagai keldai wang yang mana mangsa kehilangan lebih S$2 juta.

Kebanyakan kes itu melibatkan penipuan cinta Internet, penipuan e-dagang, memancing data bank, bantuan teknologi, penyamaran sebagai pegawai tinggi China, penipuan pelaburan, pekerjaan dan juga pinjaman wang. 

Operasi selama dua minggu itu dijalankan antara 28 Januari dengan 10 Februari dan melibatkan pegawai dari Jabatan Ehwal Komersil dan tujuh Divisyen Polis Darat. 

Mereak yang disyaki itu disiasat bagi kesalahan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan khidmat bayaran tanpa lesen. 

Jika didapati bersalah melakukan penipuan, mereka boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda. 

Kesalahan melibatkan pengubahan wang haram membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda tidak lebih S$500,000, atau kedua-duanya sekali. 

Kesalahan menjalankan perniagaan yang menyediakan sebarang bentuk khidmat bayaran tanpa lesen membawa denda sehingga S$125,000, penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya. 

"Untuk elak dijadikan rakan subahat jenayah, orang awam harus selalu menolak permintaan orang lain untuk menggunakan akaun bank atau nombor telefon anda, kerana anda akan diminta bertanggungjawab sekiranya semua tindakan ini dihubung kait dengan jenayah," menurut polis. 

"Polis memandang serius perihal sesiapa yang terlibat dalam kes penipuan, dengan pelakunya akan ditangani  mengikut undang-undang." 

Orang awam boleh melungsuri laman www.scamalert.sg atau menghubungi Hotline Anti- Penipuan di 1800-722-6688, untuk mendapat akses kepada sumber dan maklumat terkini tentang penipuan. 

SPF menasihati sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penipuan sedemikian untuk menghubungi talian Hotline Polis di 1800-255-0000 atau kirim maklumat online di www.police.gov.sg/iwitness. 

Kesemua maklumat yang anda beri akan dirahsiakan.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan