Skip to main content

Singapura

152 program Bulan Bahasa 2023 dijayakan oleh 79 rakan kerjasama, tarik 75,000 peserta

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bulan Bahasa 2023 berjaya menarik lebih 75,000 peserta menerusi pelbagai program-program yang dianjurkan.

Demikian dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim di Malam Penghargaan Bulan Bahasa 2023 pada Rabu (25 Okt).

Acara di Dewan Serbaguna Kelab Masyarakat Geylang Serai itu memberi penghargaan kepada kakitangan dan rakan kerjasama yang terlibat dalam pelaksanaan kempen Bulan Bahasa.

Gambar: MBMS

Tema pada tahun ini yang membawa tema ‘Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita.’ menyajikan pelbagai program bagi meraikan bahasa ibunda dalam aspek-aspek seni, kesusasteraan, serta aktiviti harian seperti memasak.

Pada tahun ini, 152 buah program telah dijayakan oleh 79 rakan kerjasama.

Terdapat peningkatan 17 peratus peningkatan bagi jumlah program yang diadakan berbanding dengan tahun lalu.
 

Gambar: MBMS


"Memandangkan Bulan Bahasa merupakan inisiatif yang dianjurkan oleh masyarakat untuk masyarakat, terdapat pelbagai program yang dianjurkan untuk pelbagai golongan. Program-program yang disampaikan disasarkan kepada pelajar, belia, orang dewasa dan juga warga emas yang mempunyai minat yang berbeza-beza," menurut Encik Zhulkarnain, yang mengambil alih tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa daripada Cik Rahayu Mahzam tahun ini.

"Disebabkan usaha pelbagai pihak inilah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kerjasama kami, baik yang lama mahupun yang baharu. Inisiatif Bulan Bahasa terus bernilai tambah kerana kami mendapat sokongan daripada rakan kerjasama seperti anda," tambahnya.

Sambutan Bulan Bahasa tahun ini turut dimeriahkan lagi dengan penyertaan 368 Rakan Bahasa daripada 185 sekolah, peningkatan sebanyak empat peratus berbanding tahun lalu.

Gambar: MBMS


Beliau turut memberikan penghargaan kepada para penaja, rakan-rakan kerjasama, sukarelawan, guru-guru dan ibu bapa "atas kerja keras dan dedikasi" mereka untuk menjayakan Bulan Bahasa tahun ini.

"Seperti tahun-tahun yang sudah, pelancaran Bulan Bahasa ditayangkan di kaca televisyen di saluran Mediacorp Suria buat kali keempat. Pelancaran ini melibatkan usaha-usaha Duta Bahasa, Rakan Bahasa dan rakan-rakan kerjasama untuk meraikan bahasa Melayu.

"Sekalung budi juga kepada Mediacorp Suria dan Eaglevision atas sokongan mereka. Terima kasih atas idea-idea yang dicurahkan, perancangan yang dilakukan dan juga ketersediaan pasukan anda untuk sama-sama menjayakan program tahun ini," kata Encik Zhulkarnain

Penerbit Kanan dan Penyampai Berita dan Hal Ehwal Semasa Melayu BERITA Mediacorp Nursha Ismail dalam kalangan empat Duta Bahasa tahun ini.

30 MAEC TERLIBAT DALAM BULAN BAHASA TAHUN INI, PENYERTAAN 388 RAKAN BAHASA & 185 SEKOLAH

Dalam pada itu, sokongan para GRC dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), menurut Encik Zhulkarnain turut "memberangsangkan".

Sekitar 30 MAEC terlibat dalam Bulan Bahasa tahun ini termasuk yang baharu dan lama.

"Penglibatan berterusan MAEC dalam Bulan Bahasa memastikan bahawa program bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu terus menjangkau semua lapisan masyarakat," ujar Encik Zhulkarnain.

Antara inisiatif yang diteruskan kali ini termasuk Pertandingan TeeVers yang dianjurkan bersama TeeVers, Penterjemah Pintar yang dianjurkan bersama 4PM dan disokong Jawatankuasa Terjemahan Nasional (NTC) dan Kad Kembara Rakan Bahasa oleh Jawatankuasa Kecil Rakan Bahasa.

PENGHARGAAN DIBERIKAN KEPADA BEKAS PENGERUSI JAWATANKUASA BULAN BAHASA

Gambar: MBMS
Encik Zhulkarnain turut memberikan penghargaan kepada Cik Rahayu Mahzam, yang memimpin jawatankuasa itu selama lapan tahun.

"Berkat kepimpinan beliau yang baik selama ini, jelas sekali terlihat kerjasama yang dipupuk dan persahabatan yang bersinergi dalam Jawatankuasa Bulan Bahasa. Ini merupakan sebuah asas yang kukuh untuk saya teruskan usaha ini. Terima kasih Puan Rahayu," kata beliau.

Antara penyokong dana dan ruang, serta penaja bagi Bulan Bahasa termasuk Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Wisma
Geylang Serai (WGS).
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita