Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15,000 hingga 20,000 rumah awam dan privet dirancang bagi tapak Turf City sepanjang 20 hingga 30 tahun akan datang

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 May 2024 12:33PM Dikemas Kini : 23 May 2024 08:51PM

SINGAPURA: Sekitar 15,000 hingga 20,000 kediaman awam dan privet dirancang bagi estet perumahan baharu di Turf City di Bukit Timah bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Demikian diumumkan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Khamis (23 Mei).

Ini adalah kali pertama dalam tempoh hampir 40 tahun perumahan awam dirancang di Bukit Timah, tambah beliau.

"Ini bagi memenuhi aspirasi yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Singapura untuk menetap lebih dekat dengan tempat kerja mereka di bandar."

Menurut laman web Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), terdapat kira-kira 2,500 flat di Bukit Timah.

Estet Turf City dijangka lebih mesra pejalan kaki dan bakal dilengkapi dengan rangkaian pengangkutan awam yang baik, jelas Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan media berasingan.

Tapak seluas 176 hektar itu menempatkan tapak lumba kuda kedua Singapura dari 1933 hingga 1999, sehinggalah Singapore Turf Club berpindah ke Kranji, kata Encik Lee.

Tapak tersebut sebahagian besarnya dikhaskan bagi kegunaan kediaman sejak 1998, tetapi telah disewakan bagi kegunaan gaya hidup dan rekreasi sehingga akhir 2023, menurut Encik Lee selanjutnya.

Pemerintah merancang untuk membina kawasan-kawasan kejiranan dari tapak itu, dengan sebilangan besar kemudahan akan ditempatkan dalam jarak 10 minit jika berjalan kaki.

"Kemudahan-kemudahan ini akan juga terletak dekat dengan stesen MRT untuk memudahkan perjalanan bagi semua orang, termasuk untuk penduduk sedia ada yang tinggal berdekatan," kata Encik Lee.

Penilaian terhadap impak warisan dan alam sekitar dijalankan bersama dengan kumpulan-kumpulan warisan dan alam semula jadi, menurut Menteri MND itu.

Dengan sejarahnya sebagai salah satu tapak lumba kuda di Singapura, penilaian kimpak warisan menyarankan untuk mengekalkan dan menggunakan semula bangunan-bangunan penting.

Sebanyak 27 bangunan dan struktur yang mewakili "aspek berbeza" sejarah Turf Club akan dikaji untuk dikekalkan dan digunakan semula, kata Encik Lee.

Gambar: Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA)
Ruang terbuka baharu itu berbentuk bujur, merujuk kepada geometri balapan lumba kuda yang bersejarah itu dan bagi tujuan kegunaan sukan dan rekreasi, kata URA dalam kenyataan medianya.

Estet tersebut akan dibangunkan secara bertahap-tahap, bermula dengan kawasan berdekatan dengan nadi pengangkutan sedia ada di Dunearn Road.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan