Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1,500 jemaah raikan ketibaan Aidilfitri di Masjid Yusof Ishak

Kira-kira 1,500 umat Islam berkumpul di Masjid Yusof Ishak pada Ahad (30 Mac) bagi menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan dan kesyukuran.

Anggaran Waktu Membaca:
1,500 jemaah raikan ketibaan Aidilfitri di Masjid Yusof Ishak

Sesi Mega Tahlil yang diadakan di Masjid Yusof Ishak pada 30 Mac 2025. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Kira-kira 1,500 umat Islam berkumpul di Masjid Yusof Ishak pada Ahad (30 Mac) bagi menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan dan kesyukuran.

Majlis bermula dengan sesi Mega Tahlil pada pukul 6.30 petang, diikuti dengan laungan Takbir Raya selepas solat Maghrib.

Sejurus selepas solat Isyak, suasana bertukar menjadi lebih meriah dengan aktiviti kekeluargaan.

Kanak-kanak dan keluarga tidak melepaskan peluang menikmati keseronokan bermain bunga api, sementara para jemaah turut dijamu dengan pelbagai hidangan, termasuk sate dan ais krim yang disediakan di beberapa stesen makanan.
Kanak-kanak bermain bunga api selepas solat Isyak. (Gambar: MUIS)

Pengerusi dan Pegawai Kanan Keagamaan Masjid bagi Ramadan 2025, Ustaz Idris Rifaie, berkata acara itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para jemaah atas sokongan mereka sepanjang tahun.

"Acara yang diadakan buat julung-julung kalinya ini adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada para jemaah atas sokongan padu mereka. Ia amat mengharukan melihat keluarga-keluarga berkumpul bukan sahaja untuk beribadah, tetapi juga untuk meraikan sambutan Hari Raya.

"Aktiviti-aktiviti ini memperkukuhkan masyarakat dan silaturahim keluarga, sekali gus menciptakan kenangan-kenangan manis bagi kanak-kanak kami."

Tambahnya, masjid bukan sahaja tempat menunaikan ibadah, tetapi juga merupakan ruang masyarakat yang meriah di mana tali persahabatan berkekalan dibina.

RAMAI ALU-ALUKAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI DI MASJID

Beliau turut berkata bahawa sambutan hangat itu memberi inspirasi kepada pihak masjid untuk menganjurkan lebih banyak acara serupa pada masa akan datang.

Lantaran itu, ia mendorong pihaknya untuk menganjurkan lebih banyak lagi acara sebegitu pada masa hadapan.

Para penduduk di kawasan Utara Woodlands, seperti Cik Sofia Suzan, turut mengalu-alukan usaha pihak masjid dalam menyantuni para jemaah pada malam Hari Raya.

"Saya berasa bersyukur dapat mengambil bahagian dalam acara sebegini. Suasana di sini mengingatkan saya tentang sambutan Hari Raya di kampung - bermakna dan memperkukuhkan hubungan antara para jemaah.

"Peluang menyertai acara takbir beramai-ramai dan berbuka puasa di masjid membantu mengubat kerinduan sambutan Hari Raya di kampung. Ia mengubah masjid lebih dari sekadar tempat beribadah. Ia tempat kami membina kenangan-kenangan berkekalan bersama," ujar Cik Sofia, 47 tahun.
Suasana meriah menarik ramai untuk berkunjung ke Masjid Yusof Ishak. (Gambar: MUIS)
Bagi seorang relawan masjid yang sudah lama berkhidmat di Masjid Yusof Ishak, Encik Rojali Mokri, 72 tahun, acara itu juga menghidupkan kembali kenangan sambutan Hari Raya pada tahun-tahun lalu.

"Selepas lama berkhidmat sebagai relawan di sini, saya berasa amat terharu melihat keluarga-keluarga bertakbir beramai-ramai dan berkumpul bersama. Saya amat gembira melihat kanak-kanak seronok bermain bunga api sementara keluarga-keluarga mengeratkan hubungan" katanya.

Sambutan itu turut menarik perhatian golongan muda, seperti Muhammad Mubarak S/O Muhammad Raffi Abdullah, 15 tahun, yang menganggap program itu sebagai satu dorongan positif untuk belia mendekati masjid.

"Suasana meriah malam ini menarik ramai orang muda seperti saya dan rakan-rakan saya untuk datang ke masjid. Ia sesuatu yang menggalakkan apabila melihat golongan muda seperti saya aktif menyertai aktiviti-aktiviti masjid. Bagi golongan belia seperti kami, sambutan-sambutan seperti ini membuat masjid lebih selesa dan memperkukuhkan hubungan kami terhadap kepercayaan dan masyarakat kami,"
kata beliau.

Selain Masjid Yusof Ishak, beberapa masjid lain turut mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri, termasuk Masjid En-Naeem, Masjid Al-Mawaddah, Masjid Darussalam, Masjid Al-Istiqamah, Masjid An-Nahdhah, dan Masjid Al-Islah.
Sumber : BERITA Mediacorp/NA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan