150 pemimpin masyarakat, belia kongsi idea, aspirasi bangun Masyarakat Gemilang SG
SINGAPURA: Sekitar 150 pemimpin masyarakat dan belia mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan di Astaka Persidangan Masyarakat Gemilang, yang diadakan di Sands Expo & Convention Centre, pada Sabtu (5 Jul).
Para peserta berpeluang untuk memberikan idea dan aspirasi mereka bagi membentuk lembaran baharu masyarakat, secara bersama.
Mereka juga berpeluang untuk melihat kemajuan Melayu/Islam sebagai sebuah Masyarakat Gemilang daripada lensa pemimpin masyarakat, agama dan politik.
Para peserta yang ditemui mengalu-alukan wadah sedemikian yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi aspirasi mereka bagi menyumbang kepada usaha membangunkan Masyarakat Gemilang di Singapura.
Antaranya ialah Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi, pengasas MEMBINA Community & Impactivity Pte Ltd.
"Belia adalah masa depan masyarakat. Jadi, adalah amat penting untuk kami datang ke wadah-wadah seperti ini bagi mempelajari antara satu sama lain dan juga memberikan pendapat dan buah fikiran kami sebagai belia dalam bagaimana kami ingin mengukirkan sebuah masa depan yang baik dan yang gemilang untuk semua masyarakat di Singapura," kongsi pemimpin belia itu.
"Selepas acara ini, saya lebih bermotivasi dan bersemangat untuk berkhidmat bagi masyarakat saya, dengan segala rangkaian yang disediakan hari ini untuk menyumbang kepada masyarakat termasuk dalam pertubuhan saya sendiri iaitu MEMBINA Community untuk berkongsi sumber yang disediakan semasa acara ini, melakarkan bersama sebuah impian yang lebih baik dan kukuh untuk masyarakat," tambahnya.
SEMUA ADA PERANAN BINA MASA DEPAN BERSAMA
Pandangan itu dikongsi seorang lagi peserta, Cik Nur Khairah Abdul Rahim, Naib Presiden II Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), dan kohort MENDAKI Tunas 2.0.
"Sebagai sukarelawan akar umbi dan juga pertubuhan Melayu/Islam seperti PPIS, saya yakin dan mempunyai harapan yang kami semua ada peranan masing-masing dan mengharapkan bahawa dengan rangkaian yang ada dan juga sumber dan informasi yang kami ada, kami sama-sama boleh mengetengahkan dan menggubal cara-cara ataupun inisiatif-inisiatif yang baharu serta pendekatan yang baharu untuk menyelesaikan masalah dan mencapai aspirasi dan visi yang baharu untuk masa depan," ujarnya.
"Belia pada hari ini ingin berbincang tentang isu-isu dengan cara yang lebih terbuka menerusi wadah-wadah yang selamat untuk mengetengahkan isu-isu seperti itu. Jadi, saya harap lebih ramai lagi akan tampil ke depan untuk mengetengahkan pendapat-pendapat mereka supaya kami sama-sama boleh meneroka pendekatan atau cara yang berbeza untuk melakarkan visi yang baharu bersama-sama," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.