150 pembantu rumah Indonesia bangkitkan suasana lebaran bak di kampung halaman di Masjid Haji Mohd Salleh
Setiap kali menjelang Hari Raya, rasa sayu akan menyusup ke hati Cik Agustina Wulandari, 40 tahun, seorang pekerja hijrahan kerana terlalu rindukan anak-anak dan keluarganya di Indonesia.
SINGAPURA: Setiap kali menjelang Hari Raya, rasa sayu akan menyusup ke hati Cik Agustina Wulandari, 40 tahun, seorang pekerja hijrahan kerana terlalu rindukan anak-anak dan keluarganya di Indonesia.
Dia ke sini hampir dua tahun lalu untuk mencari rezeki sebagai pembantu rumah.
Berasal dari Surabaya, Indonesia, Cik Agustina turut rindukan kemeriahan suasana beraya di kampung halamannya, suatu pengalaman yang tidak dapat dia rasakan di sini.
"Di kampung kita jalan kaki dari satu keluarga ke satu keluarga yang lain. Yang di sini cuma hari Ahad kita bertemu dengan kawan-kawan. Mungkin kalau orang Singapura sama sahaja merasakan meriahnya hari raya tapi untuk kami, kami hanya dapat merasakan hari itu (hari raya) pada hari Ahad sahaja kerana bertemu dengan teman senasib," kata Cik Agustina, ibu kepada dua orang anak.
Namun, rindunya itu terubat sedikit dan dapat menikmati suasana beraya di sini tahun ini selepas hampir setahun mengikuti program keagamaan anjuran sebuah kumpulan untuk pekerja hijrahan, 'Majlis An-Nida'.
Cik Agustina antara 150 pekerja hijrahan yang sertai sebuah acara perjumpaan Hari Raya di Masjid Haji Mohd Salleh pada Ahad (14 Apr) bagi memberi keceriaan kepada para pekerja hijrahan sepertinya.
"Kita sedih, sebak, jauh dari orang tua yang harusnya kita duduk bersama dengan suami, anak, orang tua, keluarga tapi kita di sini sendirian. Saya lihat banyak teman-teman seperjuangan yang merasakan hal yang sama dengan kita. Jadi saya adakan seperti itu untuk mengurangi rasa sedih kita dan kita merasakan satu dengan teman seperjuangan kita duduk bersama," kata penganjur dan pengasas Majlis An-Nida, Rizqy Abdullah.
(Gambar: Syawal Yusoff)
ANJURKAN 'HALAL BI HALAL' UNTUK BANGKITKAN SUASANA BERAYA DI KAMPUNG HALAMAN
Menariknya, acara tersebut turut mengamalkan tradisi 'Halal Bi Halal' yang lazim dilakukan semasa sambutan Hari Raya di Indonesia.
Selain mengeratkan talian persaudaraan, tradisi turun temurun itu juga bertujuan untuk menyatukan dan mengenali sanak saudara.
"'Halal Bi Halal' itu sebenarnya sebuah perkumpulan dari keluarga besar kita lakukan mungkin di salah satu rumah keluarga yang kita sudah sepakat. Mungkin kita dengan cara bergilir dan di situ itu ada salam-salaman, bermaaf-maafan dan kita makan bersama dan orang-orang tua yang beri wang untuk anak-anak kecil. Itu tradisi yang selalu setiap tahun kita lakukan di acara 'Halal Bi Halal'," jelas Cik Rizqy yang menubuhkan kumpulan 'Majlis An-Nida' pada 2017.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Menurut Cik Rizqy, acara tersebut lazimnnya diserikan lagi dengan bacaan Al-Quran oleh keluarga dan tetamu.
Demikian turut dilakukan hari ini termasuk bacaan selawat diiringi paluan dan alunan hadrah oleh para anggota 'Majlis An-Nida'.
"Biasanya di Indonesia itu berbeza daerah dan kita tinggal berjauhan. Hanya di saat hari raya dan 'Halal Bi Halal' ini kita semua berkumpul bersama. Kita tidak akan kehilangan anggota keluarga kerana setiap tahun kita berjumpa, bersama, jadi kita tahu satu sama lain kita tahu," tambah Cik Rizqy, yang sudah lebih 10 tahun bekerja di Singapura.
Lebih istimewa lagi, juadah yang dihidangkan juga antara hidangan yang sering disajikan pada Hari Raya di Indonesia.
Selain Rendang dan Sambal Goreng yang juga lazim disajikan di Singapura, terdapat lauk-pauk khas seperti Opor Ayam dan Telur Belado yang sinonim dengan sambutan di Indonesia.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sajian ala 'potluck' itu juga dimasak dan dibawa sendiri oleh para pekerja hijrahan yang menyertai acara itu.
"Detik hari raya ini, setahun sekali dan kita memang lakukanlah dengan anggota-anggota Majlis An-Nida dan kita undang teman-teman yang di luar sana untuk bergabung bersama kita supaya kita merasai bersama sebagai satu keluarga kita tak sendirian," kata Cik Rizqy.
Selain program agama, kumpulan Majlis An-Nida juga giat membuat persembahan hadrah dan berzanji di majlis-majlis keagamaan di sini.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.