Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

150 murid prasekolah PCF Sparkletots junjung budaya, bahasa Melayu sempena Hari Kanak-Kanak

Gelagat 150 murid-murid prasekolah PCF Sparkletots mewarnai dewan Kelab Masyarakat Bukit Panjang pagi tadi (4 Okt). Bukan satu, dua atau tiga, tetapi sekali 10 pementasan diadakan khas bagi rakan-rakan sebaya di hadapan ibu bapa tersayang, sempena Hari Kanak-Kanak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gelagat 150 murid prasekolah PCF Sparkletots mewarnai dewan Kelab Masyarakat Bukit Panjang pagi tadi (4 Okt). Bukan satu, dua atau tiga, tetapi sekali 10 pementasan diadakan khas bagi rakan-rakan sebaya di hadapan ibu bapa tersayang, sempena Hari Kanak-Kanak.

Menariknya, sambutan itu bukanlah acara biasa-biasa sahaja. Bulan Bahasa turut diraikan secara serentak.

Menerusi skit, bicara berirama, nyanyian, tarian dan juga dikir barat, PCF Sparkletots menjadikan pelbagai bentuk persembahan Melayu sebagai cara untuk memupuk rasa cinta terhadap budaya dan Bahasa Ibunda.

Yang memberi bintang-bintang cilik itu semangat untuk membuat persembahan di atas pentas, tidak lain dan tidak bukan ialah ibu bapa dan rakan-rakan sebaya dari 10 pusat prasekolah PCF Sparkletots - termasuk mereka yang bukan Melayu.

Ini merupakan kali kedua PCF Sparkletots bekerjasama dengan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Bukit Panjang sempena Bulan Bahasa. Bagaimanapun, acara hari ini adalah kali pertama ia diadakan secara serentak dengan Hari Kanak-Kanak.

Melihat anaknya kegirangan di acara itu, Cik Nurmasaini Abd Rahman memuji langkah bersama PCF Sparkletots.

"Ia membuka peluang untuk anak-anak kami menguasai Bahasa Melayu dan pada masa yang sama, menyelami budaya Melayu," kata Cik Nurmasaini.

Ada juga gerai-gerai aktiviti dan makanan bagi semua yang menghadiri acara berkenaan. Murid-murid prasekolah PCF Sparkletots berpeluang membuat kraf tangan dan mengikuti keseronokan bermain ting ting, congkak serta batu seremban.

Pelamin dan kelengkapan pernikahan turut dipamerkan agar murid-murid dapat menimba ilmu tentang adat perkahwinan Melayu.

"Yang penting adalah kita ingin mengetengahkan bakat anak-anak dan budaya Melayu seperti permainan tradisional, seni batik adat perkahwinan dan lain-lain lagi," jelas Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Melayu PCF Sparkletots, Cik Sanesa Salleh.

Turut hadir untuk meraikan bersama acara istimewa hari ini (4 Okt) ialah Anggota Parlimen SMC Bukit Panjang Dr Teo Ho Pin.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan