Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

150,000 rakyat S'pura akan terima baucar barangan dapur bagi ringankan kos perbelanjaan

Baucar barangan dapur telah dikirimkan kepada 150,000 warga Singapura bagi membantu meringankan kos perbelanjaan barangan dapur, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Sabtu (10 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Oct 2020 02:53PM Dikemas Kini : 10 Oct 2020 11:46PM

SINGAPURA: Baucar barangan dapur telah dikirimkan kepada 150,000 warga Singapura bagi membantu meringankan kos perbelanjaan barangan dapur, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Sabtu (10 Okt).

Warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada tahun ini yang tinggal di flat HDB 1-bilik dan 2-bilik, dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah, layak menerima baucar tersebut.

Para penerima akan mendapat baucar barangan dapur bernilai S$150 pada Oktober dan lagi S$150 pada Disember. Satu lagi agihan baucar barangan dapur bernilai S$100 akan diberikan kepada rakyat Singapura yang layak pada Oktober tahun depan.

"Para penerima yang layak akan mendapat baucar-baucar melalui kiriman surat berdaftar kepada alamat terdaftar kad pengenalan mereka pada Oktober 2020," demikian menurut MOF, sambil menambah bahawa tiada permohonan perlu dibuat.

Setiap anggota keluarga yang layak akan menerima baucar mereka secara individu, tambah MOF dalam kenyataan media.

Baucar barangan dapur itu sah digunakan sehingga 31 Dis 2021, dan boleh digunakan di kesemua pasar raya yang mengambil bahagian iaitu FairPrice, Giant, Prime Supermarket dan Sheng Siong Supermarket.

"Bagi menyokong rakyat Singapura menjalani gaya hidup sihat, para penerima akan menikmati sehingga 5 peratus potongan harga bagi semua produk yang mempunyai lambang Pilihan Lebih Sihat atau 'Healthier Choice', dihadkan pada 5 peratus daripada nilai baucer, apabila membuat bayaran menggunakan baucar-baucar barangan dapur di pasar raya FairPrice, Prime dan Sheng Siong," demikian menurut MOF.

Diumumkan dalam Belanjawan Perpaduan pada 18 Feb, baucar-baucar barangan dapur itu bertujuan membantu "golongan warga Singapura yang kurang berkemampuan dalam perbelanjaan rumah semasa tempoh ekonomi yang luar biasa tidak menentu ini", tambah MOF.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan