15 warga asing terkait kes pengubahan wang haram setuju serah aset S$1.85 bilion
Seramai 15 daripada 17 warga asing yang melarikan diri dari Singapura di tengah-tengah siasatan kes pengubahan wang haram S$3 bilion telah bersetuju untuk menyerahkan aset-aset bernilai sekitar S$1.85 bilion kepada pihak berkuasa, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Isnin (18 Nov).
Gambar fail Mahkamah Negara Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
Perintah mahkamah telah dikeluarkan untuk menyerahkan aset-aset tersebut, yang membentuk 98.6 peratus daripada jumlah aset yang dirampas daripada mereka.
Polis menambah, 15 warga asing itu telah diharamkan daripada memasuki Singapura dan kes mereka telah "ditangani dengan sewajarnya".
Mediacorp difahamkan bahawa ini bermakna kes-kes terhadap kesemua 15 orang daripada mereka sudahpun ditutup.
Siasatan terhadap dua lagi warga asing sedang dijalankan.
"Aset-aset bernilai S$144.9 juta yang dikaitkan dengan mereka masih disita atau tertakluk kepada perintah yang melarang pelupusan aset-aset tersebut," tambah SPF.
Kes-kes yang melibatkan 17 warga asing itu adalah antara siasatan pengubahan wang haram terbesar di Singapura. Siasatan dilancarkan pada 2021 setelah pihak berkuasa menerima maklumat mengenai sekumpulan warga asing yang menggunakan dokumen palsu untuk menyalurkan wang haram itu ke negara ini.
Ini membawa kepada penangkapan serentak sembilan lelaki dan seorang wanita - yang berasal dari China - di kediaman-kediaman mewah merata negara pada Ogos 2023.
Beberapa bulan selepas mereka diberkas, aset-aset bernilai berbilion dolar yang dikaitkan dengan para pesalah dan suspek lain berjaya dirampas - termasuk wang tunai, hartanah mewah, barangan berjenama, mata wang kripto dan arak.
Kesemua 10 warga asing itu kemudian disabitkan dengan pengubahan wang haram, antara kesalahan-kesalahan lain, dan dijatuhkan hukuman penjara.
Daripada jumlah aset yang dirampas daripada 10 pesalah atau dikaitkan dengan mereka, aset-aset bernilai sekitar S$944 juta, atau 92.1 peratus, telah diserahkan kepada pihak berkuasa, dedah pihak polis pada Isnin (18 Nov).
Yang terakhir daripada 10 pesalah itu dijatuhkan hukuman pada Jun. Kesemua mereka telah diekstradisi berikutan hukuman penjara dan dilarang daripada memasuki Singapura.
Polis menambah bahawa siasatan dan prosiding mahkamah terhadap suspek-suspek lain yang disyaki ada kaitan dengan kes pengubahan wang haram bernilai bilion dolar sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.