Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15 Tahun AGAB: Penerima AGAB adalah duta & pejuang bahasa, budaya, identiti Melayu

Sejak diperkenalkan 15 tahun lalu, seramai 64 guru Bahasa Melayu berjaya dijulang dengan Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) dan mereka kemudian memainkan peranan sebagai duta dan pejuang bahasa, budaya dan identiti Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak diperkenalkan 15 tahun lalu, seramai 64 guru Bahasa Melayu berjaya dijulang dengan Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) dan mereka kemudian memainkan peranan sebagai duta dan pejuang bahasa, budaya dan identiti Melayu.

Mereka juga menjadi suri teladan yang mahir memupuk rasa cinta terhadap Bahasa Ibunda dalam kalangan pelajar.

Demikian penilaian Pengerusi Bersama AGAB, Cikgu Abdul Harris Sumardi, tentang kesan yang dicipta AGAB terhadap guru dan landskap bahasa Melayu, serta sumbangannya kepada masyarakat dan negara.

Beliau diwawancara menjelang sambutan ulang tahun ke-15 AGAB esok (6 Nov) di mana lagi beberapa guru dijangka dinobatkan sebagai penerima AGAB.

Sejak 2007, secara purata empat guru bahasa Melayu yang dianggap sebagai melambangkan guru yang mahir dalam pengajaran Bahasa Melayu dan menyumbang kepada masyarakat, dijulang dengan gelaran Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB).

"Kejayaan yang ingin saya kongsi adalah guru-guru AGAB juga telah memperkaya khazanah kesusasteraan negara dengan menghasilkan karya-karya sastera.

"Selain itu, guru-guru AGAB juga giat berkecimpung dalam kerja-kerja kemasyarakatan yang bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat umum," jelas Cikgu Harris kepada BERITAmediacorp.

Antara sumbangan terbaru penerima AGAB kepada khazanah kesusasteraan negara adalah antologi cerpen berjudul 'Intai Kami Antara Nampak' yang menghimpunkan hasil karya wakil setiap kohort penerima AGAB - termasuk adiguru Almarhum Cikgu Naim Daipi.

(Ihsan: Unggun Creative)

Cikgu Harris menambah, AGAB juga membuat landskap perguruan menjadi lebih terarah dan terbimbing.

"Ramai penerima AGAB melibatkan diri dalam pertubuhan di peringkat sekolah, nasional dan akar umbi masing-masing. Mereka giat berinovasi agar dapat menyuntik kesegaran dalam kurrikulum Bahasa Melayu.

"Secara tidak langsung, perkara ini akan mempengaruhi rakan-rakan guru lain untuk terus mencari tahu dan bereksperimentasi agar pengajaran dan pembelajaran kekal relavan dan pelajar berasa tertawan untuk belajar Bahasa Melayu," terang guru veteran itu.

DARI PENERIMA AGAB, JADI PENGERUSI BADAN MASYARAKAT

Bagaimana penerima-penerima Anugerah Guru Arif Budiman terus menjadi pengemudi bahasa, budaya dan sastera mungkin boleh difahami menerusi semangat yang ditonjolkan Cikgu Sazali Sahri - guru kanan di Raffles Institution.

Beliau merupakan kohort kedua yang menerima AGAB pada 2008 dan penghormatan itu terus mendorongnya untuk merancakkan lagi penggunaan Bahasa Melayu di dalam masyarakat.

"Saya rasa di pundak saya ini satu amanah yang saya perlu dukung. Setelah menerima anugerah itu, bukan sahaja di sekolah, saya ceburkan diri bersama MESRA ataupun Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC)," ujar Cikgu Sazali.

Beliau memimpin MAEC Boon Lay selama 10 tahun di mana pelbagai acara yang bertujuan melestarikan Bahasa Melayu, diatur buat para penduduk kawasan undi itu. Sebagai contoh, beliau sepasukan memperkenalkan masakan Melayu dan seni batik kepada orang ramai di acara-acara keramaian.

Ini di samping menubuhkan dan menyokong kumpulan pancaragam dan tarian Melayu.

"Semua yang menyertai acara ini datang daripada latar belakang berbeza-beza: kanak-kanak, ibu pada dan pelajar," tambah Cikgu Sazali.

(Gambar: Sazali Sahri)

Buat masa ini, guru yang sudah mengajar selama 30 tahun itu sedang bergiat sebagai ahli utama dalam Perikatan Tulisan Jawi Singapura (PTJS) yang mengusahakan pelestarian tulisan Jawi di Singapura.

"Seorang guru itu perlu ke depan. Yang ingin saya mengatakan bahawa anugerah AGAB ini bukan setakat sekali sahaja tapi dia sampai sepanjang hayat. Anugerah itu perlu saya, sanjung dan saya junjung sampai akhir hayat saya."

PARA PENERIMA BENTUK J/KUASA KERJA

Sebenarnya, kini juga ada sebuah Jawatankuasa Kerja yang dianggotai 60 penerima AGAB. Jawatankuasa yang dipengerusikan Cikgu Sazali itu, menerajui pelbagai projek di luar bilik darjah.

Contohnya, projek Perkasa Warisan yang dianjurkan hampir setiap tahun sejak 2018. Program itu mendidik para pelajar sekolah rendah dan madrasah tentang gastronomi Melayu.

"Tujuannya adalah untuk murid-murid belajar secara autentik. Belajar tentang tanam-tanaman, ulam-ulam dan sebagainya.

"Awalnya bila diperkenalkan pada 2018, kami mempunyai kurang lebih dalam 300 orang peserta. Sehingga pada tahun seterusnya, kami mendapati lebih ramai pelajar yang terlibat sama dan jumlahnya mencecah 1,000 orang peserta," kongsi penerima AGAB 2014, Cikgu Nuraina Mohamed Sin.

Lebih daripada itu, jawatankuasa kerja tersebut sudah menjadi semacam wadah yang mengupaya para anggotanya untuk menyumbang kepakaran masing-masing pada pelbagai peringkat.

(Gambar fail: Majlis Bahasa Melayu Singapura/Facebook)

"Daripada apa yang saya lihat, guru-guru Arif Budiman ini, mereka menjadi guru contoh kepada guru-guru yang lain dengan berkongsi strategi pengajaran. Bagaimana untuk menjadikan Bahasa Melayu lebih menyeronokkan, jadikannya seperti yang dikatakan, 'joy of learning'," ulas Ketua Pakar di Pusat Bahasa Melayu Singapura, Cikgu Haryati Surana.

Pendek kata, AGAB kini ibarat suatu 'alumni' atau kumpulan pemangkin yang memperkaya landskap pembelajaran Melayu di Singapura.

Kumpulan ini dijangka terus mengupaya masyarakat dengan lebih ramai guru berkaliber dinaungi di bawah AGAB setiap tahun. 

Berikut senarai penuh guru-guru yang dijulang dengan Anugerah Guru Arif Budiman antara 2007-2020: 

2007

Elmi Zulkarnain Osman

Ishak Abdul Latiff

Mohd Naim Daipi

Nur Ashikin Sapri 

2008

Abdul Malek Ahmad

Mohd Khir Sapuan

Salina Hussin

Sazali Sahri

2009

Azyanti Mohd Mudakir

Halimatussa'diah Jaffar

Haryati Surana

Noraishah Mostapa 

2010

Hafsah Mohd Kassim

Haniza Abdul Manan

Muliana Mohammad

Norashikin Abdul Hamid

Nurisham Ismail

2011

Aryanti Sukaimi

Farizan Md Amin

Salha Mohamed Hussain 

2012

Massuniza Ismail

Muslim Hanafiah

Safidah Samsudin

Supandi Djoeraemi

2013

Effendy Ahmadi

Muhammad Irwan Jamal

Nazarudin Abdul Bakar

Norwati Sulaiman

Rashidah Rajah

Rasidah Mohd Rasit

2014

Azizah Shaik Abdul Kadir

Nuraina Mohamed Sin

Nurbayah Ismail

Ridzuan Abrahim

Yahida Yahya

Zaleha Ahmad

2015

Marliana Mohd Rashid

Norazlina Abdul Jalil

Nur'Abidah Abdul Rahman

Nurisha Hamid

2016

Azah Abdul Aziz

Azhar Abdul Rashid

Norafizah Shariff

Rashidah Abdullah

Siti Zainab Zainal

2017

Djohan abdul Rahman

Fauziah Mohamed Ata

Dr Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz

Mohd Jamalludin Mohd Affandi

Nurhiza Mohamed

2018

Amirul Asri Hussin

Khairyanie Kamsani

Mohd Zareen Mohd Shariff

Rita Zarina Mohd Nazeer

Roslie Buang Sidik

2019

Arfah Buang

Muhammed Andi Mohammed Zulkepli

Norasiken Mohamed Noor

Nurhafeza Hanem Abdul Azal

Sabrina Samsuri

Siti Mariam Manshor

2020

Elna Hussin

Nur Syahirah Sa'adon

Siti Rohani Hanim Selamat  



Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan