Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15 rakyat S'pura masih dalam tahanan kerana terlibat kegiatan pengganas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 26 rakyat Singapura masih di bawah pemantauan sementara lagi 15 individu masih dalam tahanan kerana terlibat dalam kegiatan berkaitan pengganasan.

Bilangan tahanan berkenaan cuma membentuk sekitar 11 peratus daripada lebih 130 rakyat Singapura yang ditangani Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) sejak 2002.

115 individu kesemuanya sudah dibebaskan, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam di seminar anjuran Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Kumpulan Jagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) pada Isnin (24 Jan).

Encik Shanmugam yang juga merupakan Menteri Undang-Undang mendedahkan demikian semasa mengulas tentang 'Daniel', iaitu pelajar berusia 19 tahun yang baru dibebaskan daripada Arahan Sekatan (RO) bulan ini.

"Ini tidak akan dapat dicapai jika hanya Pemerintah sahaja yang menangani perkara ini. Ia dapat dilakukan hasil usaha bersama RRG dan ACG," kata Encik Shanmugam.

Beliau seterusnya menjadikan kes Daniel (bukan nama sebenar) sebagai contoh.



Menurut Encik Shanmugam, Daniel menjalani sesi kaunseling keagamaan setiap bulan dan dia juga mendapat khidmat pakar psikologi. Ini di samping mengikuti sesi mingguan bersama para anggota RRG yang merupakan guru bertauliah Kementerian Pendidikan (MOE) untuk membuat persiapan bagi Peperiksaan GCE 'N'.

"Dia kini sudah tahu matlamat hidupnya - belajar bersungguh-sungguh, mencari nafkah untuk keluarganya nanti dan menyumbang kepada masyarakat," ulas Encik Shanmugam sambil menambah, Daniel tidak lagi mudah terpengaruh dengan ideologi-ideologi radikal.

"Jadi perjalanan pemulihan Daniel dan tahanan lain adalah hasil kerja keras dan dedikasi anda (para anggota RRG dan ACG). Ia menunjukkan bagaimana usaha anda boleh membawa kesan dalam kehidupan orang lain."

SEKILAS TENTANG "DANIEL"

Daniel mula disiasat ISD pada September 2017 dan ketika itu dia berusia 15 tahun.

Dia disiasat kerana gambar Presiden Halimah Yacob diconteng lalu dimuat naik ke media sosial di mana dia "menyeru ISIS di Iraq dan Syria untuk memenggal kepala" Presiden Halimah, menurut ISD.

Hasil siasatan ketika itu mendapati Daniel menjadi radikal kerana terpengaruh oleh propaganda yang menyokong ISIS di media sosial. Remaja itu diperkenalkan kepada sumber-sumber tersebut oleh seseorang yang mula dikenalinya di alam maya.

Akibat terpengaruh dengan ideologi-ideologi radikalisme, Daniel antara lain berpandangan bahawa para pegawai awam dan ahli politik Muslim yang bekerja dalam pemerintahan bukan Islam adalah golongan murtad.

ORANG RAMAI PERLU MAIN PERANAN

Sehubungan itu, Encik Shanmugam menegaskan orang ramai perlu memainkan peranan dalam usaha membanteras ideologi pengganasan.



Ini sedang pengganasan kekal sebagai satu ancaman - dengan golongan muda terdedah kepada unsur-unsur ekstremisme di alam maya.

"Selain JI, kami juga berdepan dengan Al Qaeda, ISIS, para individu yang menjadi radikal sendiri dan para pelampau berhaluan kanan. Semua kumpulan ini, mereka kini sangat bagus dalam penggunaan media sosial untuk menyampaikan propaganda, merekrut dan merancang operasi pengganas," tegas Encik Shanmugam.

Lantaran itu, langkah RRG dan ACG yang beralih kepada usaha-usaha membanteras ideologi radikal dalam masyarakat menerusi alam siber juga adalah baik, puji beliau.

Encik Shanmugam pada Isnin (24 Jan) turut menyampaikan sijil penghargaan kepada para relawan RRG.

Sumber : BERITA Mediacorp/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan