Skip to main content

Singapura

15 pengilang, pengendali makanan komited untuk tambah, pelbagaikan pilihan alternatif rendah sodium

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Nov 2023 03:47PM Dikemas Kini : 07 Nov 2023 12:20AM
SINGAPURA: Sebanyak 15 pengilang dan pengendali makanan utama sudah memberi komitmen untuk menambah kepelbagaian dan meningkatkan permintaan bagi bahan dengan kandungan sodium lebih rendah.

Langkah itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan pengambilan garam yang berlebihan di Singapura.

Pengilang dan pengendali makanan itu mewakili lebih 30 peratus pasaran runcit bagi sos dan penambah rasa serta 10 peratus bahagian pasaran makanan dan minuman (F&B), kata Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Rahayu Mahzam di Parlimen pada Isnin (6 Nov).

Tinjauan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) yang dikeluarkan pada Sep mendapati sembilan daripada 10 orang di Singapura mengambil lebih banyak garam daripada yang disarankan.

Jumlah orang yang mengalami hipertensi atau tekanan darah tinggi juga naik seganda sejak 2010.

Anggota Parlimen Dr Lim Wee Kiak (PAP-Sembawang) juga bertanya bagaimana Pemerintah berhasrat untuk memastikan usaha bagi menangani pengambilan sodium berlebihan tidak membawa kepada kos perniagaan yang meningkat dan harga makanan lebih tinggi.

Pada Isnin, Cik Rahayu menarik perhatian bahawa HPB menawarkan sokongan geran bagi pembekal garam dan sos bagi membuat formulasi semula untuk produk mereka menerusi Skim Pembangunan Bahan Lebih Sihat, yang menggalak penggunaan bahan lebih sihat dalam industri khidmat makanan.

Atas sebab itu, pilihan alternatif dengan kandungan sodium lebih rendah kini "lebih mudah diakses" dan harga borong garam, sos dan penambah rasa dengan kandungan sodium lebih rendah yang dibekalkan kepada pengendali makanan kini agak setara dengan versi biasa, jelas Cik Rahayu.

Beliau menambah pemerintah juga perlu menjelaskan kepada pengendali makanan seperti penjaja, restoran, syarikat katering dan cef tentang perlunya mengurangkan pengambilan garam, memperkenalkan mereka kepada bahan dengan kandungan sodium lebih rendah serta menyediakan mereka dengan sampel untuk mencubanya.

Cik Rahayu juga menarik perhatian bahawa HPB akan mempergiatkan kempen pendidikan awamnya. Tahun lalu, HPB menggalak orang ramai untuk menukar dari garam biasa kepada pilihan alternatif dengan kandungan sodium lebih rendah.

TIADA RANCANGAN IKUT JEJAK SISTEM NEGARA LAIN

Dr Lim pada Isnin juga bertanya bagi kemas kini berhubung kajian Pemerintah mengenai cukai sodium di negara-negara yang mana langkah-langkah sedemikian sudah dilaksanakan, dan bilakah saranan berhubung perubahan dasar hasil kajian itu akan dibentangkan.

Dalam jawapannya di Parlimen, Cik Rahayu merujuk kepada beberapa contoh di Chile, Finland dan Hungary, yang sudah melaksanakan amaran dan label makanan serta cukai ke atas garam dan gula.

"Ini adalah amalan berguna untuk kita pelajari tetapi kami tidak merancang untuk mengikut jejak mereka bagi mana-mana sistem sedemikian.

"Misalnya, langkah label Nutri-grade kita bagi minuman yang sudah dibungkus sangat berkesan dalam menurunkan pengambilan gula. Kita harus melakukan perkara serupa dengan menangani pengambilan sodium berlebihan dalam cara yang bersesuaian dengan konteks kita," kata Cik Rahayu.

Beliau juga menarik perhatian bahawa sumber sodium di negara-negara Eropah dan Barat adalah makanan yang diproses, yang dibeli di kedai atau pasar raya.

Di Singapura pula, sodium biasanya dari garam, sos dan penambah rasa yang dibubuh - seperti sos soya, kicap, sos ikan dan sos cili - dan ia paling banyak diambil semasa makan di luar, tambahnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita