Skip to main content

Singapura

15 pemimpin muda MMO sudah dikenal pasti untuk sertai Tunas Bersama M³

Sekitar 15 pemimpin muda dalam pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) sudahpun dikenal pasti untuk menyertai program Tunas Bersama M³ yang akan mula dijalankan pada awal tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Oct 2021 10:49PM Dikemas Kini : 02 Oct 2021 10:53PM

SINGAPURA: Sekitar 15 pemimpin muda dalam pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) sudahpun dikenal pasti untuk menyertai program Tunas Bersama M³ yang akan mula dijalankan pada awal tahun depan.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa ditemui media di luar majlis Anugerah MENDAKI 2021 pada Sabtu (2 Okt).

Tunas Bersama M³ diumumkan Encik Masagos di Majlis Perjumpaan Hari Raya pada Mei lalu. Program itu bertujuan menghimpunkan para pemimpin berusia bawah 45 tahun yang menyandang jawatan tinggi dalam MMO.

Mereka kemudian antara lain akan dilatih dalam bidang urus tadbir dan kepimpinan, diberi pendedahan dan berinteraksi dengan para pemimpin pemerintah yang akan berkongsi tentang aspek dasar negara serta diharap dapat mengusulkan projek untuk dilaksanakan di bandar-bandar M³.

"Kita telah mengumpulkan beberapa daripada mereka untuk mencipta sama apakah program yang mereka mahu dan sekarang ini kami sudah siap dan telah menyenaraikan lebih kurang 15 calon yang akan diundang," kata Encik Masagos.

Beliau menambah, tujuh daripada calon yang dikenal pasti sudahpun memberi persetujuan untuk menyertai Tunas Bersama M³ sementara yang lain "belum mendapat kelulusan daripada pertubuhan masing-masing". Tujuh nama yang sudah memberi kata pasti bagaimanapun tidak didedahkan.

"Kami berharap 10 hingga 15 daripada mereka akan ke depan dan kami akan memberikan sebaiknya untuk mengasah kebolehan mereka supaya mereka dapat satu hari nanti memimpin persatuan tersebut dan bersama meningkatkan lagi pencapaian masyarakat kita," tambah Encik Masagos.

Program Tunas Bersama M³ akan disokong oleh MENDAKI menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).   

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita