15 orang ditangkap hisap vape dalam operasi mengejut HSA di CBD
Pada waktu tengah hari Rabu (20 Ogos), para pekerja pejabat di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Singapura keluar untuk makan tengah hari dari bangunan pejabat masing-masing.
Namun tanpa disedari, beberapa pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyamar dalam kalangan orang ramai, sambil mengenakan pakaian kasual.
Mereka berada di tempat itu atas satu sebab: untuk menangkap mereka yang menghisap vape.
Pasukan HSA itu disertai oleh beberapa wartawan termasuk wartawan Mediacorp ini.
Mereka yang hadir bagi operasi itu berpecah kepada dua kumpulan, dengan setiap kumpulan disertai oleh dua hingga empat pegawai HSA.
Mereka berjalan di sekitar kawasan CBD, tanpa sebarang hala tuju ditetapkan, sementara para pegawai HSA memerhatikan kawasan sekeliling untuk mengesan sebarang pengguna vape.
Beberapa orang yang menghisap vape ditemui dalam kalangan para perokok di kawasan merokok yang ditetapkan, manakala beberapa lagi dikesan di lokasi yang rawak, seperti di tempat tangga berhampiran tempat letak kereta.
Secara keseluruhan, 15 orang ditangkap semasa operasi penguatkuasaan selama dua jam di CBD.
Sebahagian mereka yang ditangkap berasa terkejut apabila dihampiri oleh pegawai HSA, tetapi memberi kerjasama apabila diminta menyerahkan alat vape dan butiran peribadi.
Mereka juga terperanjat apabila menyedari mereka dirakam oleh pihak media dan bertanya kepada pegawai HSA mengenai rakaman itu.
Salah seorang wanita segera memalingkan wajahnya apabila beliau melihat telefon bimbit dihalakan ke arahnya.
Pada Selasa (19 Ogos), tiga orang ditangkap di Haji Lane dalam operasi penguatkuasaan vape yang dijalankan oleh HSA.
Kesemua 18 orang ditangkap pada Selasa dan Rabu didenda serta-merta.
Sebanyak 82 peranti vape dan komponen berkaitan, termasuk 62 batang 'heatstick' dirampas sepanjang operasi dua hari itu.
Vape adalah satu keprihatinan serius di Singapura.
Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad lalu (17 Ogos), Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Singapura akan mempertingkatkan langkah penguatkuasaan dan menganggap vape sebagai "isu dadah", dengan hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang menjual vape yang mengandungi bahan berbahaya.
Buat masa ini, mereka yang ditangkap kerana membeli, menghisap atau memiliki vape akan dirujuk kepada HSA dan boleh dikenakan denda sehingga S$2,000.
Ia juga adalah satu kesalahan untuk mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk menjual vape dan komponennya.
Vape bercampur etomidate, dikenali sebagai Kpod, semakin mendapat perhatian kebelakangan ini.
Etomidate ialah sejenis anestetik bertindak pantas yang memudaratkan jika digunakan di luar sekitaran perubatan yang terkawal.
Di bawah Akta Racun, mereka yang didapati bersalah memiliki, mengimport atau menjual pod yang mengandungi etomidate boleh dipenjara sehingga dua tahun dan dikenakan denda maksimum S$10,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.