Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1.5 juta warga S'pura dapat Baucar GST hingga S$300; semua keluarga diberi kredit perbekalan S$100

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jun 2022 02:06PM Dikemas Kini : 21 Jun 2022 09:23PM

SINGAPURA: Sekitar 1.5 juta rakyat Singapura akan menerima bayaran tunai sehingga S$300 dalam bentuk Baucar GST khas pada Ogos, umum Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Selasa (21 Jun). 

Ini selain bayaran GSTV-Tunai biasa yang sepatutnya diterima pada 2022. 

Ia akan memanfaatkan kira-kira 1.5 juta pekerja bergaji rendah hingga berpendapatan sederhana, serta pesara tanpa pendapatan, kata Encik Wong, yang juga adalah Timbalan Perdana Menteri. 

Kesemuanya, para penerima GSTV-Tunai akan menerima sehingga S$700 pada Ogos tahun ini, dedah Encik Wong selanjutnya.

Semua keluarga rakyat Singapura akan menerima kredit perbekalan sebanyak S$100 menjelang September untuk membantu mereka membiayai bil masing-masing, umum Encik Wong. 

"Semasa Belanjawan, saya sudah mengagihkan rebat U-Save yang sewajarnya bagi mereka yang menetap di flat-flat HDB, dengan agihan lebih tinggi diberikan kepada mereka yang menetap di flat-flat lebih kecil. Kali ini, saya akan memberikan kredit perbekalan sekali saja sebanyak S$100 kepada semua keluarga rakyat Singapura, termasuk mereka yang menetap di rumah privet." 

Sewaktu Belanjawan 2022 dibentangkan pada Februari lalu, Encik Wong mengumumkan bahawa Pemerintah akan menokok S$640 juta kepada Pakej Jaminan bernilai S$6 bilion dan mempertingkatkan skim Baucar GST. 

Pakej Jaminan yang dipertingkat diumumkan pada 2020 dan ia bertujuan untuk menampung sekurang-kurangnya lima tahun perbelanjaan tambahan GST bagi sebahagian besar keluarga rakyat Singapura dan sekitar 10 tahun bagi keluarga-keluarga berpendapatan rendah, kata Encik Wong ketika itu. 

Sejak ia diumumkan, pertumbuhan global dan persekitaran inflasi ternyata "lebih mencabar", ujar Encik Wong. 

"Perang Ukraine meningkatkan lagi tekanan terhadap rantaian bekalan global dan langkah-langkah perlindungan yang dikuatkuasakan oleh beberapa negara turut menjejas rantaian bekalan global," tambahnya. 

"Harga makanan dan tenaga sejagat meningkat dengan mendadak dan kita harus menjangkakan inflasi global akan menjejas aspek-aspek lain dan terus meningkat sebelum ia stabil dan menjadi lebih baik." 

Singapura berada di "kedudukan yang lebih kukuh" untuk menangani cabaran-cabaran ekonomi ini berbanding negara-negara lain, kata Encik Wong. 

"Sungguhpun demikian, sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, kita tidak terlepas daripada kesan harga yang lebih tinggi. Dan sudah tentu, sepanjang beberapa bulan yang lalu, kita menyaksikan harga meningkat secara berterusan, terutama sekali harga makanan dan tenaga," tambahnya. 

"Keadaan inflasi akan stabil akhirnya, baik di peringkat global mahupun di Singapura. Tetapi buat masa ini, kita harus menjangkakan harga akan terus meningkat dalam masa beberapa bulan akan datang. Dan khususnya, harga tenaga berkemungkinan kekal tinggi sepanjang tahun ini." 

Dua skim juga akan dipertingkat untuk memberi lebih banyak sokongan kepada golongan berpendapatan rendah dan warga emas, kata Encik Wong. 

Skim ComCare akan dipertingkat untuk memberi bantuan tambahan kepada keluarga yang menerima bantuan jangka pendek hingga sederhana dan bantuan jangka panjang, dedah Encik Wong selanjutnya.


Isi rumah dengan hanya anggota tunggal akan menerima bantuan jangka panjang ComCare yang lebih tinggi sebanyak S$640 sebulan, naik S$40 sebulan, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan media yang berasingan. 

Mereka yang memohon bantuan jangka pendek hingga sederhana ComCare atau merancang untuk memperbaharui bantuan yang dihulurkan juga boleh menjangkakan  bantuan kewangan yang lebih tinggi dan bantuan bagi menampung perbelanjaan perbekalan mereka, menurut kenyataan tersebut. 

Jumlah bantuan yang dihulurkan bergantung kepada jumlah anggota keluarga, keperluan dan pendapatan keluarga tersebut, menurut MOF. 

Elaun Singapura dan had pencen bulanan bagi para pesara yang mengeluarkan duit pencen yang lebih rendah akan dinaikkan sebanyak S$30 setiap seorang, masing-masing kepada S$350 dan S$1,280. 

Langkah-langkah bantuan yang terkandung dalam pakej S$1.5 bilion yang diumumkan pada Selasa (21 Jun) lebih condong ke arah usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan golongan memerlukan kerana mereka adalah kumpulan-kumpulan yang terjejas "secara tidak seimbang” oleh kesan-kesan inflasi, kata Encik Wong. 

"Saya sedia maklum ramai rakyat Singapura prihatin terhadap isu-isu berhubung kenaikan harga dan kos sara hidup. Tetapi sila faham bahawa cabaran-cabaran yang dihadapi bukan sekadar tentang inflasi. Ia juga memerlukan kita untuk menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan struktur utama dalam persekitaran operasi kita," tambahnya. 

Dengan perubahan-perubahan seperti perubahan iklim dan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, dunia mungkin lebih bergolak dan menjadi serba tidak menentu, kata Encik Wong. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan