Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1.5 juta warga S'pura akan terima baucar GST sehingga S$700 pada Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jul 2022 03:00PM Dikemas Kini : 12 Jul 2022 11:10PM

SINGAPURA: Sekitar 1.5 juta warga Singapura akan menerima wang tunai sehingga S$700 pada Ogos menerusi dua bayaran, iaitu Baucar GSTV - Tunai biasa dan GST - Bayaran Tunai Khas. 

Pengagihan itu adalah sebahagian pakej S$1.5 bilion yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jun untuk membantu warga Singapura menangani kadar inflasi yang lebih tinggi. 

Sekitar 575,000 warga Singapura yang layak,  berusia 65 tahun dan ke atas juga akan menerima tokokan Akaun MediSave CPF sehingga S$450 pada Ogos, sebagai sebahagian skim Baucar GST, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa (12 Jul). 

Mereka yang dilahirkan pada atau sebelum 31 Dis 1969 dan tidak menerima faedah Generasi Perintis atau Generasi Merdeka akan menerima tokokan S$100 pada Akaun MediSave CPF mereka pada hujung Ogos. 

"Ini adalah tahun keempat daripada lima tahun antara 2019 hingga 2023 di mana orang dewasa yang layak akan menerima tokokan tahunan MediSave yang diumumkan pada Belanjawan 2019," menurut kementerian MOF. 

Penerima yang layak bagi GSTV - Tunai dan GSTV - Bayaran Tunai Khas akan secara automatik menerima bayaran tersebut jika mereka sudah berdaftar bagi skim pengagihan pemerintah sebelum ini, tambah MOF. 

Mereka yang sebelum ini belum berdaftar untuk skim GSTV boleh berbuat demikian di laman web rasmi GSTV sebelum 30 Apr 2023. 

Bagi warga Singapura yang belum memberikan butiran akaun bank mereka atau menghubungkan nombor kad pengenalan (NRIC) mereka kepada akaun Paynow, GovCash akan menggantikan cek sebagai kaedah bayaran mulai tahun ini.

Mereka yang menggunakan GovCash boleh mengeluarkan GSTV - Tunai dan GSTV - Bayaran Tunai Khas di mesin-mesin ATM OCBC di merata Singapura dengan memasukkan nombor NRIC dan nombor rujukan bayaran mereka yang akan dihantar pada hujung Ogos. 

Mereka tidak perlu ada akaun bank OCBC untuk mengeluarkan bayaran tersebut di ATM, menurut MOF. 

"Penerima GovCash juga boleh menggunakan aplikasi LifeSG untuk membuat bayaran kepada peruncit dengan mengimbas kod QR PayNow atau NETS mereka, atau memindahkan bayaran kepada akaun bank mereka menerusi PayNow jika mereka kemudian mendaftar untuk PayNow-NRIC," tambah MOF. 

Kementerian tersebut menyatakan agihan GSTV - Tunai dan GSTV - MediSave Ogos ini adalah sebahagian daripada sokongan berterusan Pemerintah bagi golongan berpendapatan rendah dan warga lanjut usia untuk membantu mereka menampung perbelanjaan GST dan kos sara hidup. 

Ia turut menarik perhatian bahawa selain itu, warga Singapura yang layak sudahpun menerima Baucar CDC, dua agihan rebat U-Save dan S&CC serta tokokan pada akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) mereka awal tahun ini. 

"Mereka boleh menantikan lebih banyak sokongan dari segi agihan wang tunai, kredit perbekalan, tokokan pada Akaun Pembangunan Anak (CDA) dan dua lagi agihan rebat U-Save dan S&CC pada bulan-bulan akan datang," menurut MOF. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan