Skip to main content

Singapura

15 didenda kerana siarkan kandungan vaping di media sosial

Anggaran Waktu Membaca:
15 didenda kerana siarkan kandungan vaping di media sosial

Dari Januari 2024 hingga Mac 2025, 15 orang didenda kerana memuat naik gambar atau video yang mengandungi vape di akaun media sosial mereka. (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 16 May 2025 07:43PM Dikemas Kini : 16 May 2025 07:58PM
SINGAPURA: 15 orang yang menyiarkan gambar atau video vape di akaun media sosial mereka antara Januari 2024 dengan Mac 2025 telahpun dikenal pasti dan didenda, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (16 Mei).

10 daripada pesalah tersebut ditangkap dalam dua suku tahun terakhir.

Platform yang digunakan oleh mereka yang ditangkap termasuk TikTok dan platform siaran langsung Bigo.

MOH dan HSA menyatakan bahawa lebih 17,900 orang telahpun ditangkap kerana memiliki atau menggunakan vape dalam tempoh yang sama, hasil "penguatkuasaan yang dipertingkatkan melibatkan pelbagai agensi".

HSA menyatakan bahawa ia telah merampas vape dan komponen berkenaan yang bernilai lebih S$41 juta dari Januari 2024 hingga Mac 2025 dan mendakwa 60 orang kerana menjual vape, termasuk mereka yang dikaitkan dengan gudang yang menyimpan produk bernilai jutaan dolar.

Semasa operasi bersama oleh HSA dan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam tempoh tersebut, 101 pelancong yang memasuki Singapore ditangkap kerana memiliki vape. Kes penyeludupan yang melibatkan 91 penyeludup juga dirujuk kepada HSA oleh ICA, kata pihak berkuasa.

Sekitar 6,437 iklan vape dan komponen berkaitan dikeluarkan daripada platform dalam talian pada 2024, lebih dua kali ganda berbanding 3,149 iklan yang dikeluarkan pada 2023, menurut MOH dan HSA.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menyediakan sokongan untuk membantu para pelajar yang ditangkap menggunakan vape untuk menghentikan tabiat itu. Ibu bapa boleh menghubungi QuitLine di 1800 438 2000 untuk mendapatkan rujukan bagi khidmat berhenti merokok dan penggunaan vape di HPB, kata pihak berkuasa.

JUMLAH ORANG YANG DITANGKAP DENGAN VAPE NAIK 44 PERATUS

Menurut data di laman web HSA, 3,171 orang ditangkap menggunakan atau memiliki vape pada suku pertama 2025, naik 44 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024 (2,200).

Pada suku terakhir 2024, 3,557 orang ditangkap atas kesalahan serupa.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa mereka yang memiliki, menggunakan atau membeli vape boleh dikenakan denda maksimum S$2,000, manakala sesiapa yang ditangkap menjualnya menghadapi denda sehingga S$10,000, hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, dengan hukuman lebih berat untuk pesalah berulang.

Semua produk tembakau yang dilarang akan disita.

Mereka yang gagal membayar denda tersebut menghadapi hukuman lebih berat jika didakwa di mahkamah, kata MOH dan HSA. Ia menambah bahawa 27 pesalah sedemikian telah didakwa antara Januari 2024 dengan Mac 2025.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita