Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15,000 lagi tempat prasekolah di pusat-pusat PCF dalam 5 tahun: PM Lee

Pemerintah menegaskan lagi komitmennya untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi kanak-kanak prasekolah bagi lima tahun mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Sep 2018 03:21PM Dikemas Kini : 09 Sep 2018 09:25PM

SINGAPURA: Pemerintah menegaskan lagi komitmennya untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi kanak-kanak prasekolah bagi lima tahun mendatang.

Berucap di acara tahunan Hari Keluarga Yayasan Masyarakat PAP (PCF) di Taman di Pesisiran hari ini (9 Sep), Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang juga tetamu terhormat di acara itu menarik perhatian bahawa dalam tempoh tiga tahun lalu, PCF Sparkletots sudah mewujudkan hampir 10,000 tempat di pusat-pusat jagaan kanak-kanaknya.

PCF merupakan cabang amal Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang juga mengelolakan prasekolah Sparkletots serta 'Sparkle Care' bagi golongan warga emas.

"Dalam lima tahun akan datang, kami akan menyediakan khidmat prasekolah kepada lagi 15,000 kanak-kanak dengan membina prasekolah-prasekolah lebih besar dan menaik taraf prasekolah sedia ada," kata PM Lee.

PCF juga akan mempertingkat pembelajaran dan pembangunan para pendidik dan kakitangan prasekolah serta menyediakan lebih banyak sokongan kepada para pelajar yang memerlukan.

"Menyediakan pendidikan prasekolah yang dimampui dan bermutu tinggi adalah salah satu cara penting Pemerintah dan PCF membantu keluarga-keluarga muda untuk menangani kos sara hidup. Pasangan bekerja khususnya boleh berasa yakin bahawa anak-anak mereka akan dijaga dengan baik bila mereka bekerja," tambah PM Lee.

PM Lee berucap kepada keluarga-keluarga dan anak-anak dari lebih 360 pusat prasekolah PCF Sparkletots merata Singapura dan warga emas dari PCF Sparkle Care @ Yew Tee. PCF adalah pengendali pusat prasekolah yang terbesar.

LEBIH BANYAK PUSAT JAGAAN WARGA EMAS

Dua lagi Pusat Jagaan Sparkle akan dibuka menjelang pertengahan tahun 2019. Ini membawa jumlah pusat jagaan seumpama itu kepada lima keseluruhannya.

Ketua Eksekutif PCF Victor Bay mengatakan bahawa ia akan meluaskan keupayaannya dalam bidang jagaan awal kanak-kanak dan juga warga emas. "Kami juga akan mewujudkan lebih banyak peluang bagi golongan muda untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan golongan warga emas dengan mengadakan kegiatan di PCF Sparkletots dan PCF Sparkle Cara," tambahnya.

Para Anggota Parlimen PAP juga mengumpul dana sebanyak S$666,000 sebagai sebahagian daripada acara tersebut. Dana itu akan disalurkan kepada 21 badan amal.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan