Skip to main content

Singapura

147 murid alami gejala radang perut di Sekolah Rendah North View sejak 13 Jan

Anggaran Waktu Membaca:
147 murid alami gejala radang perut di Sekolah Rendah North View sejak 13 Jan
Gambar bangunan Sekolah Rendah North View. (Imej: Google Street View)
Diterbitkan : 19 Jan 2026 06:34PM Dikemas Kini : 19 Jan 2026 07:07PM
  • Seramai 147 murid Sekolah Rendah North View dan 60 murid Sekolah Rendah River Valley mengalami radang perut sejak pertengahan Januari.
  • Pihak sekolah, SFA dan CDA sedang menyiasat punca kejadian serta memantau kesihatan murid yang terjejas.
  • Langkah berjaga-jaga seperti pembersihan, pembasmian kuman dan had perhimpunan telah dilaksanakan di sekolah terlibat.
  • Kantin Sekolah Rendah River Valley dikendalikan oleh Gourmetz di bawah model dapur berpusat baharu yang bermula bulan ini.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menyiasat 147 kes radang perut melibatkan murid Sekolah Rendah North View.

Murid antara Darjah 1 hingga Darjah 6 yang terjejas dilaporkan mengalami simptom itu sejak 13 Januari, dengan kebanyakan mereka sudah pulih setakat 18 Januari, menurut pihak sekolah, Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam kenyataan bersama sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp pada Isnin (19 Jan).

Seorang murid dimasukkan ke hospital pada 17 Januari dan dibenarkan pulang pada keesokan hari dalam keadaan stabil, menurut ketiga-tiga pihak itu.

Sekolah itu yang terletak di 210 Yishun Ave 6, sudah berhubungan dengan murid-murid terjejas dan ibu bapa mereka, dan akan terus memantau kebajikan murid.

Sekolah Rendah North View juga sedang bekerja rapat dengan SFA dan CDA bagi menyiasat kejadian itu.

Pihak sekolah sudah pun mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, termasuk membersih dan melakukan pembasmian kuman terhadap semua bilik darjah dan kawasan yang dikunjungi ramai murid, serta menghadkan perhimpunan pelajar di sekolah, menurut agensi-agensi tersebut.

"Murid-murid juga diingatkan supaya mengamalkan kebersihan peribadi dan berehat di rumah jika mereka kurang sihat."

Ini merupakan insiden radang perut besar-besaran yang kedua melanda sebuah sekolah rendah sepanjang minggu lalu.

Pihak berkuasa secara berasingan sedang menyiasat 60 kes radang perut melibatkan murid-murid di Sekolah Rendah River Valley, di mana murid-murid terjejas melaporkan mengalami simptom tersebut sejak 14 Januari.

Sekolah Rendah River Valley adalah salah satu daripada 13 sekolah di bawah model hidangan dapur berpusat baharu, yang bermula bulan ini dan kantin tersebut dikendalikan oleh syarikat khidmat katering Gourmetz.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita