Skip to main content

Singapura

14,000 rumah bakal dibina di kawasan perumahan baharu Sembawang North dan Woodlands North Coast

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua kawasan perumahan baharu di Sembawang dan Woodlands akan dibangunkan bagi menawarkan sekitar 14,000 rumah baharu, termasuk 12,000 flat perumahan awam.

Rancangan bagi Sembawang North dan Woodlands North diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee di majlis anugerah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Selasa (22 Okt).

Projek pertama Bina Ikut Tempahan (BTO) di dua kawasan perumahan ini akan dilancarkan pada 2025, dengan yang lain akan menyusul secara bertahap-tahap, jelas HDB dalam kenyataan medianya pada Selasa.

"Ini akan menyediakan bekalan rumah mampu dimiliki yang agak banyak bagi rakyat Singapura, yang mahu tinggal di bahagian utara, terutama sekali untuk keluarga yang ingin tinggal dekat dengan ibu bapa mereka untuk saling menjaga dan menyokong satu sama lain," tambahnya.

Dua kawasan perumahan awam itu akan menambah kepada penyebaran geografi yang baik perumahan awam bagi memenuhi keperluan berbeza rakyat Singapura, menurut HDB.

SEMBAWANG NORTH

Sembawang North akan menjadi tapak 53 hektar di Sembawang. Ia akan menawarkan sekitar 10,000 unit perumahan - 8,000 flat BTO dan 2,000 unit perumahan privet - apabila ia siap dibina kelak, menurut HDB.

Projek kawasan perumahan itu akan mencerminkan warisan tentera laut dan seni bina kolonial - melihat kepada sejarahnya sebagai Pangkalan Tentera Laut British pada tahun 1920-an dan kemudian Limbungan Kapal Sembawang.

Projek BTO itu akan menampilkan elemen reka bentuk yang mendapatkan ilham daripada banglo kolonial.

"Elemen berunsur nautika juga akan disepadukan ke dalam Sembawang North "untuk mewujudkan ruang masyarakat yang mencerminkan sejarah unik kawasan itu", jelas HDB.

"Rumah-rumah di Sembawang North akan disediakan dengan pelbagai kemudahan, bagi memastikan persekitaran kehidupan yang bermutu bagi kedua-dua penduduk sedia ada dan masa depan di Sembawang.

"Bagi menjadikannya lebih mudah diakses oleh penduduk, terdapat rancangan untuk membangunkan kemudahan komersil baharu, khidmat jagaan kesihatan, sekolah dan tempat ibadat," menurut HDB.

Tempat rekreasi dan ruang hijau yang baharu juga akan disediakan bagi menawarkan peluang riadah bagi penduduk.

Satu ciri penting Sembawang North adalah 'Community Wharves Link' - rangkaian bagi pejalan kaki yang akan menghubungkan projek-projek BTO akan datang, jelas HDB.

Rangkaian ini akan menawarkan "persekitaran berjalan tanpa gangguan, yang menyediakan akses kepada pelbagai kemudahan dan ruang hijau".

Pusat kejiranan baharu juga dirancang di tengah-tengah kawasan perumahan itu, dengan "pelbagai kedai dan pilihan makanan untuk memenuhi keperluan harian penduduk, serta ruang yang mencukupi bagi perhimpunan masyarakat dan interaksi".

Sebuah wadah masyarakat - bersebelahan pusat kejiranan itu - merangkumi taman seluas 1 hektar dengan kemudahan riadah seperti taman permainan dan ruang kecergasan.

"Wadah masyarakat itu juga akan menghubungkan pembangunan sedia ada Sembawang di bahagian selatannya dengan kemungkinan pembangunan pesisir pantai pada masa akan datang di bahagian utara Sembawang.

"Penduduk akan meraih manfaat daripada rangkaian menyeluruh laluan berbasikal dan laluan pejalan kaki, meningkatkan keterhubungan kepada kemudahan penting dan tempat pengangkutan," jelas HDB.

WOODLANDS NORTH COAST

Projek pertama BTO di Woodlands North Coast akan dilancarkan pada Februari 2025.

Lembaga perumahan itu akan secara beransur-ansur melancarkan baki projek pada tahun-tahun mendatang. Apabila siap kelak, ia akan mempunyai sekitar 4,000 rumah baharu meliputi 21 hektar tanah, menurut HDB.

Ini bagi menyediakan lebih banyak pilihan mampu dimiliki bagi pasangan muda dan keluarga yang mahu tinggal di Woodlands, tambahnya.

Kawasan itu akan diubah menjadi destinasi pesisir pantai pelbagai guna yang dinamik, sebagai sebahagian daripada pelan Membentuk Semula Estet (ROH) HDB bagi Woodlands yang diumumkan pada 2017.

Projek BTO di Woodlands North Coast akan menawarkan pengalaman "Housing by the Woods" (Perumahan di tepi Hutan) yang unik, dengan blok-blok direka untuk "memaksimumkan pemandangan indah Taman Admiralty dan Woodlands Waterfront", menurut HDB.

Projek perumahan itu juga akan menawarkan kemudahan seperti tempat makan dan kedai bagi penduduk.

Penduduk masa depan Woodlands North Coast juga akan meraih manfaat daripada akses mudah ke stesen MRT Woodlands dan kemudahan sedia ada di Woodlands Central melalui WoodsVista Gallery sejauh 1.9 kilometer, jelas HDB.

Laluan berjalan kaki dan berbasikal ini akan dibangunkan HDB dengan kerjasama Lembaga Taman negara (NParks).

Fasa pertama WoodsVista Gallery akan dibina di samping UrbanVilla @ Woodlands, projek BTO yang sedang dibina dan dijangka siap pada 2026.

Projek penting yang akan datang di Woodlands North Coast termasuk pembangunan perindustrian Woodlands Gateway dan Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Maklumat lanjut akan didedahkan kelak, menurut HDB.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita