Skip to main content

Singapura

14,000 akaun meconnect diakses pihak luar tidak dikenali; maklumat bayaran tidak terjejas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seramai 14,000 pengguna meconnect dinasihati supaya menukar kata laluan mereka selepas akaun-akaun mereka diakses, menurut Mediacorp pada Khamis (23 Feb).

Menurut Mediacorp, butiran bagi log masuk tidak bocor daripada sistem dan siasatan lanjut tidak mendedahkan sebarang bukti yang menunjukkan data peribadi para pengguna disalahgunakan atau didedahkan kepada secara terbuka.

"Para pengguna boleh rasa terjamin bahawa tiada maklumat pembayaran terjejas disebabkan oleh insiden itu," jelas Mediacorp.

Akses yang tidak dibenarkan itu dikesan semasa satu pemantauan dijalankan pada lewat Januari dan ia dilakukan oleh pihak ketiga yang tidak dikenali, menurut rangkaian media nasional itu.

Akaun-akaun meconnect digunakan untuk mengakses khidmat Mediacorp seperti mewatch.

Difahamkan ia mungkin disebabkan oleh sejenis serangan siber di mana butiran pengguna diperolehi daripada satu pembocoran data pada satu khidmat yang kemudian digunakan untuk log masuk ke satu lagi khidmat yang tidak bersangkut paut.

Ini berdasarkan andaian nama pengguna dan kata laluan kerap digunakan semula bagi pelbagai khidmat.

Bulan lalu, terdapat aduan bahawa PayPal mengalami serangan serupa.

Sekitar 35,000 akaun diakses semasa insiden yang berlaku dari 6 Dis hingga 8 Dis 2022.

PEMILIK AKAUN DIMAKLUMKAN

Sebanyak 14,000 akaun meconnect yang terjejas membentuk peratusan kecil daripada berjuta-juta akaun meconnect, menurut Mediacorp. Syarikat itu juga sudah memaklumkan semua pemilik akaun yang terjejas dan sebagai langkah tambahan, kata laluan mereka sudahpun ditukar dan ditetapkan semula.

Mereka juga sudah dinasihatkan supaya menukar kata laluan mereka dan memeriksa akaun lain di mana butiran log masuk serupa mungkin digunakan.

Mediacorp, yang memiliki CNA, menyatakan, pihaknya sudah memfailkan aduan polis dan memaklumkan para pengawal selia, termasuk Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi Singapura(PDPC) dan akan bekerjasama bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita