Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

14 relawan penerima sulung Anugerah Penghargaan Wanita Darul Arqam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: 14 sukarelawan wanita menjadi penerima pertama Anugerah Penghargaan Wanita Darul Arqam.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan serta dedikasi mereka kepada persatuan itu dan masyarakat, terutamanya kepada kehidupan golongan mualaf.

Majlis penyampaian anugerah itu diadakan di Aloft Singapore Novena pada Ahad (5 Nov).

Antaranya adalah mualaf dari Belanda, Helena Maryam Veen yang memeluk Islam lebih 40 tahun lalu.

"Saya melihat pertumbuhan MCAS sehingga ke hari ini dan mereka mengiktiraf bukan sahaja saya tetapi juga, apa yang boleh saya katakan 13 perintis lain," kata Cik Helena Maryam.

Cabaran mengamalkan ajaran Islam dan menjadi Muslim di Belanda menjadi antara cabaran terbesar yang beliau hadapi sejak menjadi seorang Muslim.

"Sebenarnya sebagai seorang Muslim yang tinggal di barat, kadangkala anda disalah fahami dan sentiasa perlu menjelaskan diri anda. Membesarkan anak-anak sebagai orang Islam dalam masyarakat barat sebenarnya adalah cabaran terbesar yang pernah saya lalui," kongsi Cik Helena.

Beliau berharap dapat membimbing sukarelawan golongan muda untuk menjadi barisan hadapan dalam membantu masyarakat mualaf.

Seorang lagi penerima ialah Cik Kamisah Hassan yang sudah hampir tiga dekad menyumbang tenaga sebagai menjadi sukarelawan.

"Cabaran daripada para mualaf, daripada orang awam. Anda harus luangkan banyak masa untuk mendengar dan memberi pendapat anda. Saya lakukan ini bukan sahaja di Darul Arqam tetapi juga pergi ke hospital untuk para mualaf yang sudah akhir hayat. Jadi anda harus berikan sokongan rohani dan juga moral," kongsi Cik Kamisah.

Beliau yang datang dari keluarga mualaf dengan ibunya yang beragama Taoist, terkenang bagaimana ibunya bergelut setelah memeluk agama Islam.

Lantaran itu, Cik Kamisah berazam untuk menyebarkan segala ilmu dengan mualaf-mualaf lain untuk mempermudahkan perjalanan mereka sebagai seorang Muslim.

FORUM KESIHATAN MENTAL DIADAKAN

Sebuah forum kesihatan mental bertajuk "Memupuk Ketahanan dan Kesejahteraan: Mengemudi Kesihatan Mental dalam Landskap Pelbagai Singapura dengan Tumpuan kepada Wanita" turut diadakan.
Para panelis terdiri dari Pengasas Bersama Club Heal SG, Dr. Bibi Jan Ayyub, Penceramah Motivasi dan Pengasas ILMHUB, Ustazah Shameem Sultanah dan
Pakar Kesihatan Mental dan Pakar Pencegahan Kawalan Jangkitan, Roszian Roslan.

Forum tersebut bertujuan untuk memperkasa golongan hawa yang berdepan dengan masalah mental untuk dapatkan bantuan serta sokongan yang diperlukan.

Di samping itu juga mendalami ilmu pengetahuan tentang kesihatan dan penyakit mental.

Dalam ucapannya, tetamu terhormat mantan Presiden, Puan Halimah Yacob berkata penting untuk mempunyai sebuah ekosistem kesihatan mental dengan bantuan yang mudah diakses.

"Saya rasa amat penting kita bahaskan dan perluaskan perbincangan-perbincangan tentang kesihatan mental kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan keadaan fisikal kita. Kalau kita tidak bincangkan tentang pekara ini, kesedaran agak pudar dan sokongan kepada mereka tidak mencukupi dan ini akan terus memberatkan diri mereka, keluarga mereka dan masyarakat," kata Puan Halimah Yacob.

Beliau menarik perhatian akan kesedaran tentang kesihatan mental yang semakin meningkat namun akur lebih banyak lagi yang dapat dilakukan.

"Dari segi kesedaran yang ada pada hari ini, dapat lihat lebih baik tetapi banyak lagi yang dapat kita lakukan, ia belum mencukupi lagi," tambah beliau.

Puan Halimah juga menggesa agar para individu mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan mengikis stereotaip berhubung penyakit mental.

"Kita harus mempunyai lebih ilmu yang lebih mendalam tentang apakah penyakit dan kesihatan mental itu, supaya jika kita lihat seseorang itu mengalami penyakit kesihatan mental, kita tidak mempunyai perasaan kurang senang, syak wasangka dan sebagainya. Dan dapat kita memberikan sokongan dan membantu mereka dengan lebih berkesan lagi," kata Puan Halimah Yacob.

DARUL ARQAM PEROLEH LUKISAN 'THE HERITAGE'.

Selain sokongan untuk golongan mualaf, Darul Arqam turut menyokong program masyarakat lain.

Pada 2022, ia melelong lukisan 'The Heritage' pada harga S$20,000.

Hasilnya disalurkan kepada artis, Mohammad Shahril dan MHF.

"Hasil daripada lelongan lukisan 'The Heritage' ini tentu sekali akan membantu kami dari pihak Yayasan Warisan Melayu untuk menggembangkan lagi program-program dan inisiatif-inisiatif yang kita lakukan selama ini diantaranya berunsurkan pendidikan," kata Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF), Dr Norshahril Saat.

Lukisan itu turut disempurnakan dengan sentuhan kreatif Presiden Halimah Yacob pada Hari Warisan 2022.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan