Skip to main content

Singapura

14 peserta terbaik Anugerah musim ke-12 buat persiapan akhir, alumni bergabung bagi persembahan istimewa

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Aug 2026 06:19PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 09:32PM
SINGAPURA: Pentas utama Anugerah 2026 bakal membuka tirainya malam ini (25 Ogos) bagi 14 peserta terbaik yang berjaya mara ke peringkat suku akhir.

Setelah berehat selama lima tahun, pertandingan nyanyian itu akan kembali ke kaca televisyen dengan siaran langsung episod pertama malam ini di saluran Suria pada jam 8.30 malam.

Kesemua 14 peserta akan bersaing di pentas Anugerah malam ini dengan lagu-lagu bertemakan 'My FYP', iaitu lagu-lagu yang memberikan gambaran tentang cita rasa peribadi, identiti dan pilihan muzik setiap peserta.
ALUMNI ANUGERAH MEMBUKA TIRAI EDISI KE-12 PERTANDINGAN

Pertandingan nyanyian tersebut telah melahirkan bakat-bakat tempatan yang bukan sahaja mewarnai industri muzik Singapura, malah juga mengharumkan nama Singapura di peringkat antarabangsa.

Membuka tirai episod pertama musim ke-12 Anugerah malam ini ialah lima alumni Anugerah yang terdiri daripada Eka Mairina, Iskandar Ismail, Hyrul Anuar, Sarah Aqilah dan Thaqif.

Iskandar Ismail yang juga merupakan Juara Gegar Vaganza musim ke-12 dijemput sebagai juri jemputan.

"Juri undangan untuk episod pertama ini memang tidak asing dengan pentas Anugerah. Malah, beliau sendiri cukup arif dengan debaran pertandingan nyanyian. Alumni Anugerah 2001, Iskandar Ismail, akan meriahkan rancangan malam ini tapi dari sisi meja juri untuk teruskan pencarian suara Generasi Terkini," kongsi penerbit kanan Eaglevision, Illyanis Hanafi.
Related article image
Penerbit Kanan Eaglevision, Illyanis Hanafi (Gambar: Mediacorp)
Para peserta akan dinilai dari segi teknik vokal, interpretasi dan ekspresi lagu serta 'X-factor' atau keunikan persembahan.

PENONTON BOLEH TENTUKAN NASIB PESERTA

Para penonton juga berpeluang menentukan nasib para peserta dari episod pertama lagi menerusi undian mereka.

"Undian penonton sangat penting dalam menentukan kedudukan peserta. Talian dibuka setiap minggu, hari Rabu, jam 10 pagi hinggalah persembahan terakhir setiap episod. Anda boleh undi melalui mediacorp.sg/anugerah. Penonton boleh kirimkan sebanyak 20 undian setiap hari dan ini merangkumi 20 peratus bagi markah keseluruhan. Jadi jangan sekadar beri sokongan, pastikan anda undi peserta kegemaran anda," jelas Cik Illyanis.

Juara Anugerah 2026 akan memenangi hadiah wang tunai $25,000.
Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita