Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

14 pegawai AMTAS selamat berangkat ke Arab Saudi tinjau prosedur umrah

Seramai 14 pegawai Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) daripada 10 syarikat selamat berangkat ke Arab Saudi petang tadi (23 Okt) bagi meninjau prosedur melakukan umrah untuk jemaah Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 14 pegawai Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) daripada 10 syarikat selamat berangkat ke Arab Saudi petang tadi (23 Okt) bagi meninjau prosedur melakukan umrah untuk jemaah Singapura.

Mereka juga akan meninjau keadaan dan protokol di hotel-hotel yang lazim diinapi oleh para jemaah Singapura.

Perkembangan ini bermakna para jemaah Singapura juga selangkah lagi ke hadapan untuk berangkat bagi umrah bermula bulan depan.

TINJAU PROTOKOL KESELAMATAN, RAWATAN COVID-19

Kumpulan itu boleh disifatkan sebagai rombongan pertama Singapura ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, sejak pandemik COVID-19 melanda tahun lalu.

Lebih penting lagi, jemaah yang terdiri daripada para pemilik agensi-agensi umrah tempatan itu mempunyai agenda lebih luas, iaitu meninjau keadaannya di hotel-hotel di sana serta melihat protokol keselamatan bagi jemaah yang melakukan umrah.

Selama seminggu, rombongan itu juga akan melawat pusat-pusat perubatan di Makkah untuk mengetahui kemudahan rawatan dan bagaimana kes-kes COVID-19 akan dikendalikan seandainya berlaku kecemasan di kalangan jemaah Singapura.

Penolong Setiausaha AMTAS dan Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad berkata: "Kita nak kena mengetahui prosedur di sana, PCR prosedur bagaimana hospital-hospital dan kemudian hotel-hotel yang selalu jemaah-jemaah kita menginap jadi untuk sama ada hotel-hotel tersebut ada prosedur yang khusus bagi jemaah umrah."

Beliau menambah bahawa setelah mendapat mendapatkan maklumat mengenai segala prosedur di sana, ia kemudian akan diimplementasikan bagi para jemaah Singapura yang bakal menunaikan umrah pada November atau Disember ini.

PERBEZAAN PERATURAN 3 JENIS VISA

Satu lagi isu yang akan mereka tinjau ialah peraturan bagi pemegang visa yang berbeza - visa umrah, visa wisata dan visa perniagaan.

Pengarah Shahidah Travel & Tours Cik Rosila Salim misalnya berkongsi bahawa agensinya lebih cenderung untuk menggunakan visa umrah.

"Kalau kita gunakan visa umrah, kita tak ragu-ragu sebab slot untuk pergi Raudah dan slot untuk melakukan umrah terjamin. Sudah diaturkan terlebih dahulu. Kalau kita pergi dengan tourist visa, agak tidak tentu. Kita belum tahu tentu lagi bila slot kita dapat dan ini bergerak daripada masa ke semasa.

"Mungkin waktu sekarang ini belum banyak jemaah, jadi senang dapat kalau pemegang visa wisata itu pergi. Tetapi bila tibanya waktu bulan Disember, bila ramai jemaah yang sudah pergi ke Makkah, mungkin kita tidak dapat melakukan umrah lebih daripada satu," kata beliau.

Bagi Pengarah Evershine Travel & Services Pte Ltd, Haji Abdul Rahim Syed Masood pula, beliau misalnya mahu menguji cuba dengan menggunakan visa wisata, berbanding visa umrah.

Maka itulah dalam rombongan AMTAS itu, ketiga-tiga visa turut digunakan bagi meninjau perbezaannya.

"Kita nak tahu bila kita sampai di Jeddah, macam mana operation – 'receiving point' (tempat sambutan), kemudian macam mana kita nak gunakan pengangkutan bas dan kemudian bagi prosedur umrah di sana," kata beliau.

Rombongan peninjau tersebut yang menaiki pesawat Scoot dijadual tiba di Jeddah sekitar tengah malam ini waktu Singapura.

Wartawan BERITAmediacorp turut menyertai rombongan itu dan akan memberikan perkembangan terkini pada hari-hari mendatang.

Sebelum ini, Scoot mengumumkan bahawa syarikat penerbangan itu akan memulakan perjalanan Singapura-Jeddah tiga kali seminggu bermula Khamis lalu, termasuk bagi tujuan umrah.

Naib Presiden AMTAS Ustaz Jalaluddin Hassan juga menjangkakan bahawa kos umrah akan meningkat antara 20 peratus hingga 30 peratus jika ia disambung semula.

Berdasarkan peraturan sekarang, para jemaah yang berangkat dari Arab Saudi perlu menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari setiba mereka ke Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan