14 masjid daerah barat labur rizab S$2.7 juta dalam Pelan Pelaburan Wakaf Masjid
'Pelan Pelaburan Wakaf Masjid' merupakan satu usaha baharu untuk menjana aliran dana yang mampan bagi menyokong keperluan masa depan masjid. Ia dimulakan dengan masjid di daerah barat dan akan diperluaskan ke semua masjid
Masjid-masjid itu merupakan kumpulan pertama yang melabur dalam pelan tersebut.
Di bawah Pelan Pelaburan Wakaf Masjid, masjid-masjid akan melaburkan sebahagian daripada wang rizab masing-masing dalam pelbagai produk pelaburan yang mematuhi syariah untuk mendapat pulangan lebih baik.
Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata inisiatif itu akan diluaskan kepada semua masjid di daerah lain supaya bersama-sama mereka dapat menghasilkan dana yang lebih baik, untuk manfaat masyarakat.
Encik Masagos berkata demikian dalam Perbahasan Jawatankuasa Peruntukan di Parlimen pada Rabu (6 Mac).
"Sejauh ini, sebanyak 14 masjid di daerah barat telah melaburkan lebih S$2.7 juta. MUIS akan meluaskan inisiatif ini kepada semua masjid di daerah lain supaya bersama-sama mereka dapat menghasilkan dana yang lebih baik, untuk manfaat masyarakat," kata Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Dalam jawapannya kepada pertanyaan yang dibangkitkan Anggota Parlimen Sharael Taha dan Zhulkarnain Abdul Rahim tentang rancangan untuk membina korpus Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), Encik Masagos menjelaskan usaha itu perlu dimulakan dari sekarang.
"Kita mesti mula menyemai benih-benih bagi membangunkan institusi yang kukuh dan berdaya tahan bagi menampung keperluan jangka panjang masyarakat, untuk generasi sekarang dan akan datang. Oleh itu, MUIS menubuhkan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS)," jelas Encik Masagos.
Beliau juga mendedahkan bahawa MUIS telah menerima ikrar lebih S$3.6 juta kepada WMS daripada orang perseorangan selain pelaburan masjid-masjid.
"Saya gembira dengan sambutan masyarakat setakat ini, dan menggalakkan lebih ramai untuk menyumbang kepada WMS. Saya harap sumbangan kepada WMS akan juga memupuk budaya menyumbang yang lebih mendalam, dalam masyarakat kita," kata Encik Masagos.
WMS dijangka akan dibuka pada lewat tahun ini untuk membolehkan orang ramai membuat sumbangan. Masyarakat Islam Singapura digalak untuk menyumbang kepada wakaf baharu ini daripada aset atau hartanah yang dimiliki mereka.
MUIS akan melakukan beberapa kempen pendidikan untuk orang awam bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang wakaf dan perancangan kewangan.
Menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Nadia Samdin tentang rancangan memperkasa golongan asatizah dan masyarakat menangani isu-isu semasa, Encik Masagos akur dengan cabaran yang dihadapi.
Cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat Islam minoriti juga kata Encik Masagos, berbeza dengan cabaran yang cuba ditangani masyarakat Muslim di negara-negara majoriti Islam.
"Walaupun Singapura hanya sebuah negara kecil dengan masyarakat Islam minoriti, institusi Islam tersohor dunia seperti Darul Ifta' dari Mesir mengiktiraf sumbangan negara kita dalam membina gedung-gedung ilmu agama. Ini dapat memudahkan masyarakat minoriti Islam sejagat berkembang maju dalam konteks unik masing-masing," tambah beliau.
Bagi tujuan itu, Encik Masagos juga berkongsi rancangan MUIS untuk menganjurkan edisi kedua Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) pada Oktober 2024.
Ia akan memberi tumpuan kepada semangat kewarganegaraan dan kepimpinan masyarakat yang berpandukan nilai-nilai agama.
Anggota Parlimen, Fahmi Aliman juga bertanya tentang usaha pertingkatkan kemahiran para Kadi, Naib Kadi dan asatizah wanita dalam program Bersamamu.
Encik Masagos menerangkan bahawa lebih 90 peratus daripada mereka telah menjalani latihan untuk membimbing pasangan dengan lebih baik bagi memperkukuh kewangan rumah tangga.
"Kami akan membangunkan kemahiran mereka dalam bidang lain, supaya mereka boleh memberi sokongan yang lebih berkesan kepada para pasangan. Kami bakal menyambut ulang tahun Bersamamu yang ke lima lewat tahun ini. Program Bersamamu tidak mungkin berjaya tanpa usaha gigih para Kadi, Naib Kadi dan asatizah wanita kita," kata Encik Masagos.
Sejak Ogos tahun lalu, program Bersamamu juga telah diperkasa dengan tambahan sembilan asatizah wanita untuk menyediakan sokongan khusus kepada kaum hawa untuk mereka berkongsi isu-isu tentang perkahwinan dan keluarga mereka.
Sehingga Disember lalu, sekitar 26,500 pasangan sudah meraih manfaat daripada usaha Bersamamu itu.
MUFTI NEGARA DILANTIK JADI ANGGOTA FORUM MINORITI MUSLIM DI DARUL IFTA', MESIR
Dengan kepakaran dan pengalaman bernilai yang ditimba oleh institusi dan para pemimpin agama dalam mengemudi masyarakat Islam minoriti di sini, Encik Masagos juga menarik perhatian kepada usaha masyarakat Muslim di sini untuk menyumbang kepada dunia.
Ini lebih-lebih lagi dengan pengiktirafan yang diterima pemimpin agama dan institusi ini dalam perihal itu.
Encik Masagos juga berkongsi satu lagi pengiktirafan yang diterima iaitu pelantikan Mufti Negara, Dr Nazirudin Nasir untuk menganggotai sebuah jawatankuasa yang dikelola Darul Ifta' sejak Oktober 2023.
"Mufti kita, Dr Nazirudin baru-baru ini dilantik untuk sertai Forum bagi Penyelidikan dan Kajian Fatwa-fatwa bagi Minoriti Muslim, sebuah badan yang dikenali di peringkat global dengan cendekiawan-cendekiawan Islam yang diasaskan Darul Ifta' di Mesir yang dipimpin Mufti Besar Mesir," kongsi Encik Masagos.
"Kongres itu merancang untuk mempamerkan model Singapura yang boleh dicontohi bagi kumpulan-kumpulan minoriti Muslim di peringkat global. Kami berharap model minoriti Muslim dalam masyarakat yang moden dan rencam akan memberi inspirasi kepada masyarakat lain untuk buka jalan bagi memelihara keamanan dan keharmonian secara global," tambah beliau.
Mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan Arab Saudi pula, Encik Masagos menekankan bahawa ia merupakan kali pertama negara tersebut memeterai perjanjian serupa dengan negara yang bukan majoriti Islam.
Selain dengan Arab Saudi, MUIS sudah memeterai perjanjian serupa dengan negara-negara Timur Tengah lain iaitu Amiriah Arab Bersatu dan Jordan.
Encik Masagos berkata MUIS sedang merancang untuk menandatangani MoU dengan lebih banyak negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.