14 kes baru COVID-19 dikesan di CGH yang kini ada dua kelompok aktif
216 kes jangkitan tempatan baru COVID-19 dilaporkan setakat Jumaat (3 Sep), menurut MOH, termasuk 109 yang tidak berhubung kait kes terdahulu. Satu kelompok baru dikenal pasti di Hospital Besar Changi (CGH) - kelompok ketiga dikesan di hospital itu sejak Jun lalu.
Hospital Besar Changi (Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Sebanyak 216 kes jangkitan tempatan baru COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari Jumaat (3 Sep), menurut Kementerian Kesihatan (MOH), termasuk 109 yang tidak berhubung kait kes terdahulu.
Satu kelompok baru dikenal pasti di Hospital Besar Changi (CGH) - kelompok ketiga dikesan di hospital itu sejak Jun lalu.
Sebanyak 56 kes baru dikaitkan dengan kes sebelumnya dan sudah dikenakan kuarantin. Lagi 51 jangkitan berkait kes terdahulu dikesan menerusi ujian pemantauan.
Ini adalah hari keempat berturut-turut di mana jangkitan tempatan tanpa hubung kait melebihi jangkitan yang dikaitkan dengan kes-kes sebelumnya.
Ia juga merupakan jumlah kes tempatan tertinggi sejak 7 Ogos tahun lalu, apabila 236 jangkitan dikesan dalam masyarakat dan dalam kalangan penghuni dormitori.
Dua kes baru yang dilaporkan hari ini melibatkan warga emas berusia 70 tahun dan ke atas yang belum divaksin atau sudah menerima satu dos vaksin dan berisiko menghidap jangkitan teruk, kata MOH.
Selain itu, terdapat tiga kes import dengan semuanya sudah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.
Dua kes dikesan semasa ketibaan manakala satu lagi mengalami penyakit itu semasa tempoh pengasingan.
Secara keseluruhan, terdapat 219 kes baru COVID-19 di Singapura hari ini.
KELOMPOK BARU DI CGH DENGAN 14 KES
Satu kelompok jangkitan baru di Hospital Besar Changi (CGH) dikenal pasti pada Jumaat. Ini adalah kelompok COVID-19 ketiga yang dikaitkan dengan hospital itu sejak Jun tahun ini dan yang kedua yang masih aktif di situ.
Kelompok terbaru di CGH mempunyai 14 kes kesemuanya, 11 daripadanya ditambah pada Jumaat. MOH tidak memberikan perincian lanjut kes tersebut.
Terdapat satu kelompok sedia ada yang pertama kali dikenal pasti pada 3 Ogos dan kekal aktif dengan empat kes.
Kelompok pertama di hospital itu tahun ini dikenal pasti pada 25 Jun dan ditutup pada 31 Jul. Kelompok itu mempunyai 20 jangkitan.
Tujuh lagi kelompok ditutup pada Jumaat, menjadikan jumlah kelompok aktif di Singapura sekarang kepada 59 dengan setiap satu mempunyai tiga hingga 1,155 jangkitan.
Sebanyak 29 kes baru dikaitkan dengan kelompok di lapan pusat pertukaran bas iaitu Tampines, Boon Lay, Jurong East, Toa Payoh, Bishan, Clementi, Punggol dan Sengkang. Ia kini mempunyai 377 kes.
Kelompok Pusat Pertukaran Bas Boon Lay mencatat peningkatan tertinggi dengan sebanyak 12 kes, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 87 kes. Kelompok Pusat Pertukaran Bas Toa Payoh yang mempunyai jumlah kes terbanyak kini bertambah sebanyak lapan kes kepada 115 kes.
Kelompok Pusat Pertukaran Bas Clementi bertambah empat kes kepada 29.
Kelompok Bugis Junction pula bertambah tujuh kes baru menjadikan 254 kes keseluruhannya.
LIMA DALAM KEADAAN KRITIKAL
Seramai 580 pesakit dirawat di hospital dan lima berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU)manakala 20 kes memerlukan bantuan oksigen.
Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 19 berusia 60 tahun dan ke atas di mana 11 belum divaksin atau sudah menerima satu dos vaksin, menurut MOH.
"Terdapat bukti berterusan bahawa hampir kesemua individu yang sudah lengkap divaksin tidak mengalami jangkitan teruk apabila terkena jangkitan, melainkan mereka mempunyai keadaan perubatan yang menyebabkan mereka mudah terjejas," menurut MOH.
Sepanjang 28 hari lalu, peratusan kes belum divaksin yang menghidap jangkitan teruk atau meninggal dunia adalah 7.3 peratus manakala mereka yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin adalah 1.1 peratus.
80% PENDUDUK LENGKAP DIVAKSIN
Hampir 8.75 juta dos vaksin COVID-19 diberikan di bawah program vaksinasi nasional, dengan lebih 4.3 juta penduduk sudah selesai menjalani rejimen vaksinasi penuh setakat Khamis (2 Sep).
Selain itu, 168,254 dos vaksin lain yang diiktiraf di bawah senarai kegunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia diberikan setakat Selasa, merangkumi 85,953 individu.
Secara keseluruhan, 80 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani rejimen penuh atau menerima dua dos vaksin COVID-19 manakala 83 peratus sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Setakat Jumaat, jumlah terkumpul kes COVID-19 di Singapura adalah 68,210 dengan 55 kematian akibat penyakit itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.