14 dijel seludup rokok elektronik, barangan berkaitan bernilai S$700,000
Seramai 14 lelaki yang berusia antara 22 hingga 54 tahun dihukum penjara kerana menyeludup masuk rokok elektronik dan barangan berkaitan bernilai sekitar S$700,000 ke Singapura, rampasan terbesar sejauh ini.
Rokok-rokok elektronik dan barangan-barangan berkaitan yang dirampas. (Gambar-gambar: HSA)
SINGAPURA: Seramai 14 lelaki yang berusia antara 22 hingga 54 tahun dihukum penjara kerana menyeludup masuk rokok elektronik dan barangan berkaitan bernilai sekitar S$700,000 ke Singapura, rampasan terbesar sejauh ini.
Para pegawai menemui sebanyak 54,392 barangan sedemikian, dedah Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan media bersama hari ini (5 Jul).
Antara barangan yang dirampas.
Pada 7 Jun, para pegawai ICA menjumpai barangan terlarang itu yang disembunyikan dalam kabin tempat duduk penumpang daripada tujuh lori yang berdaftar di Malaysia. Lori-lori itu digunakan untuk mengangkut ayam ke Singapura.
Siasatan HSA mendapati lelaki-lelaki itu, yang kesemuanya merupakan pemandu lori dan kelindan daripada sebuah syarikat Malaysia yang sama, diarah membawa barangan tersebut ke satu lokasi yang ditetapkan di Singapura.
Mereka kemudian akan bertemu dengan seorang lelaki yang akan mengambil barangan terlarang itu.
Lelaki-lelaki tersebut, kesemuanya warga Malaysia, didakwa di mahkamah pada Isnin lalu (28 Jun) dan dijatuhi hukuman penjara sehingga dua bulan.
Mereka yang sabit kesalahan menjual, memiliki untuk dijual, diimport atau mengedarkan rokok elektronik dan barangan berkaitan boleh didenda sehingga S$10,000, dijel sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Mereka yang mengulangi kesalahan boleh didenda sehingga S$20,000, dihukum penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
HSA menyatakan ia akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mengimport produk tembakau terlarang seperti rokok elektronik dan barangan berkaitan.
Kesemua produk tembakau akan dirampas dan disita, menurut HSA.
Ia juga adalah satu kesalahan untuk memiliki, membeli atau menggunakan produk-produk tembakau. Hukuman bagi kesalahan tersebut adalah denda sehingga $2,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.