Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

14 bekas penghuni RKM terima Biasiswa Al-Fatih lanjut pendidikan ke posmenengah

Seramai 14 bekas penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) dianugerahkan biasiswa Al-Fatih bernilai $2,500 seorang demi membantu mereka meneruskan pengajian posmenengah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 14 bekas penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) dianugerahkan biasiswa Al-Fatih bernilai $2,500 seorang demi membantu mereka meneruskan pengajian posmenengah.

Buat pertama kalinya, 'Anugerah Keluarga RKM', diperkenal bagi mengiktiraf sokongan padu ahli keluarga terhadap program pemulihan penghuni RKM.

Anugerah itu disampaikan oleh Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kementerian Pendidikan, Dr Faishal Ibrahim di acara Hari Penghuni RKM.

40 PENGHUNI, BEKAS PENGHUNI TERIMA ANUGERAH

‘Hijrah – Ke arah menjadi insan yang lebih baik’.

Demikian tema RKM tahun ini, melambangkan usaha dan azam bagi anak-anak tumpangannya berdepan dengan pelbagai cabaran dan perubahan secara positif lagi gigih.

Seiring dengan tema ini, 26 penghuni RKM diberikan anugerah kerana pencapaian mereka dalam aspek pendidikan dan perwatakan.

Bagi 14 bekas penghuni RKM pula, mereka diberikan biasiswa Al-Fatih bagi membantu mereka meneruskan pendidikan di peringkat posmenengah.

Jawatankuasa Biasiswa RKM, Cik Sharifah Mariam Aljunied, menjelaskan anugerah ini dilakar selepas RKM membuat kajian enam tahun lalu yang mendapati pendidikan yang baik membantu penghuninya setelah mereka keluar dari rumah tumpangan.

"Anak-anak RKM yang dapat lulus pelajaran posmenengah mereka setelah mereka keluar daripada RKM, mereka ini lebih terjamin.

"Mereka-mereka ini mendapati risiko masalah berulang yang jauh lebih rendah daripada anak-anak yang tidak menyempurnakan pelajaran posmenengah mereka. Jadi mesejnya amat jelas, pendidikan boleh jadi perisai anak-anak kita," kongsinya bersama pihak kami.

DARI RKM INGIN KE UNIVERSITI

Salah seorang penerima ialah penuntut Akademi PSB dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal, Mohamed Fazli Selamat.

Dengan biasiswa ini beliau kini berazam untuk melanjutkan pendidikannya ke menara gading.

"Saya berasa gembira dan bersyukur kerana saya telah dipilih untuk menerima biasiswa ini kepada saya. Saya berazam untuk meningkatkan diri saya, pergi ke universiti untuk menambahkan ilmu dan kefahaman saya," katanya.

Ini adalah tahun ke-6 biasiswa ini dikeluarkan oleh RKM dan sejauh ini, sudah lebih dari 40 bekas
penghuni RKM menerimanya.

DR FAISHAL: BIASISWA CERMINKAN SOKONGAN INKLUSIF

Tetamu terhormat, Dr Faishal Ibrahim, memuji pencapaian sekumpulan belia itu, sambil menekankan pentingnya sokongan keluarga dan masyarakat dalam pembangunan anak-anak, khususnya mereka yang memerlukan.

"Jadi ini adalah satu gambaran yang sangat baik dan ia juga mencerminkan bagaimana kita di Singapura telah membangun sebagai satu masyarakat bukan sahaja yang inklusif.

"Kita boleh memberikan ruang kepada semua ahli masyarakat tidak kira daripada mana mereka datang untuk membangun, menghadapi cabaran mereka dan juga untuk memberikan laluan yang lebih baik dalam kehidupan mereka," tekan Dr Faishal.

3 keluarga penghuni turut diberikan anugerah "Keluarga RKM" kerana menyokong anak-anak mereka dalam menjalani program pemulihan dan kaunseling.

Buat masa ini, lebih daripada 60 belia lelaki antara berusia antara 10 hingga 20 tahun, berada di bawah penjagaan RKM. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan