Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

132 asatizah ambil kursus PCICS sejauh ini; kohort kedua, ketiga mula pengajian

Kohort kedua dan ketiga Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) sudah memulakan pengajian mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Jul 2021 07:08PM Dikemas Kini : 28 Jul 2021 02:19PM

SINGAPURA: Kohort kedua dan ketiga Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) sudah memulakan pengajian mereka.

Ini menjadikan jumlah asatizah yang mengambil kursus setahun itu setakat ini seramai 132 orang.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mendedahkan demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Jalan Besar Dr Wan Rizal Zakariah.

Kohort kedua dan ketiga seramai 72 orang memulakan kursus pada Oktober tahun lalu dan April tahun ini.

Encik Masagos berkata 60 peserta kohort pertama sudah tamat kursus dan telah menunjukkan prestasi yang baik di sebalik cabaran COVID-19.

70 peratus daripada mereka merasakan matlamat semua modul pembelajaran dicapai, dedah beliau.

"Mereka melaporkan pengalaman belajar yang positif. MUIS akan melakukan beberapa penambahbaikan pada PCICS. Ini termasuk pengukuhan, sokongan bahasa Inggeris dan bahasa Arab untuk para pelajar dan memperkenalkan lebih banyak peluang untuk pembelajaran praktikal supaya pelajar dapat meraih lebih banyak pengalaman sebelum mereka memasuki pasaran kerja.

"Dan MUIS akan terus mendekati mereka untuk menilai bagaimana PCICS membantu mempersiapkan mereka untuk bertugas sebagai asatizah," ujar Encik Masagos.

Dr Wan Rizal kemudian bertanya sama ada latihan amali dapat diterapkan ke dalam program itu bagi membantu asatizah yang baru pulang ke tanah air lebih memahami keperluan masyarakat setempat.

Beliau turut berkongsi maklum balas dari para penuntut yang masih berada di luar negara yang mahu mengambil sebahagian modul PCICS sebelum mereka pulang ke Singapura.

Ia akan bermakna mereka dapat memasuki pasaran kerja dengan lebih awal.

Encik Masagos menjawab perkara yang penting pada masa ini adalah untuk memastikan struktur program PCICS menjadi rapi kerana ia masih agak baru.

MUIS, tambahnya, akan mengkaji dan melihat apa yang terbaik untuk masyarakat serta kepentingan pelajar dan masa depan. 

Sumber : CNA/RR/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan