Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

131 kes pegawai dikenakan tindakan disiplin atas diskriminasi di tempat kerja dalam tempoh 5 tahun lalu: MHA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Sep 2023 02:10PM Dikemas Kini : 19 Sep 2023 08:51PM
SINGAPURA: Jabatan Home Team dan ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah menyiasat 310 kes diskriminasi di tempat kerja dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Demikian menurut Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (18 Sep).

131 daripada kes tersebut dibuktikan dengan para pegawai yang bersalah dikenakan tindakan disiplin, nyata Menteri MHA dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.

Sembilan kes pula dilaporkan terus kepada Divisyen Perkhidmatan Awam dan ibu pejabat kementerian itu.

Encik Shanmugam berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan daripada dua Anggota Parlimen tentang cara pegawai Home Team boleh membuat aduan mengenai cabaran di tempat kerja.

Ini muncul selepas seorang pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) yang telah membuat dakwaan mengenai isu perkauman dan pembulian di tempat kerja, ditemui maut di kolong blok HDB di Yishun pada Julai lalu.

Encik Shanmugam kemudian menyatakan bahawa polis akan menyiasat dakwaan pegawai itu, bahawa dia dibuli oleh ketuanya dan telah berdepan dengan ucapan berbaur perkauman oleh rakan-rakan pasukannya. SPF juga menjelaskan bahawa dakwaan tersebut, yang dipercayai dibuat pada 2015, sebelum ini telah diteliti dan didapati tidak disokong mana-mana bukti.

Dalam jawapan bertulisnya pada Isnin, Encik Shanmugam berkata: "MHA mengambil pendirian yang tegas terhadap diskriminasi di tempat kerja. Semua dakwaan yang bersifat sedemikian akan ditangani dengan serius dan disiasat. Jika kami menemui sebarang salah laku, pegawai yang bersalah akan dipertanggungjawabkan, tidak kira pangkatnya."

Beliau tidak memperincikan di mana pegawai yang bersalah itu bertugas dalam MHA atau apakah jenis tindakan disiplin yang akan diambil terhadapnya.

BAGAIMANA PEGAWAI MHA BOLEH LAPORKAN DISKRIMINASI

Encik Shanmugam juga menggariskan "saluran yang ditetapkan", yang boleh digunakan pegawai untuk menyuarakan ketidakpuasan hati atau melaporkan salah laku.

AP Bukit Batok Murali Pillai bertanya mengenai wadah bagi pegawai Home Team untuk membuat aduan mengenai diskriminasi yang tidak adil dan layanan terhadap mereka oleh ketua mereka tanpa khuatir dituduh.

AP GRC Aljunied Sylvia Lim bertanya mengenai wadah yang sedia ada bagi pegawai untuk menangani cabaran di tempat kerja sekiranya penyelia mereka tidak dapat atau tidak sanggup untuk menghuraikannya.

Beliau juga bertanya mengenai wadah di mana aduan boleh dibuat dan perlindungan bagi mereka yang membuat aduan.

Sebagai respons, Encik Shanmugam menarik perhatian mengenai Saluran bagi Pengendalian Ketidakpuasan Rasmi dan Saluran bagi Pendedahan Etika Sulit yang boleh digunakan para pegawai MHA untuk "melaporkan ketidakpuasan, diskriminasi di tempat kerja dan sebarang isu berhubung tindakan atau tingkah laku yang tidak wajar kepada sebarang tahap pengurusan secara langsung".

Ini termasuk penyelia langsung, komander atau pengarah unit, dan kepimpinan kanan Jabatan Home Team mereka dan ibu pejabat MHA. Laporan itu boleh dibuat dengan bertulis atau secara bersemuka, jelas Encik Shanmugam.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan