Skip to main content

Singapura

1,300 kereta Toyota Prius ditarik balik di SG akibat risiko pintu terbuka ketika memandu

Sekitar 1,300 kereta Toyota Prius ditarik balik di Singapura akibat kerosakan pada sistem kunci elektrik pintu belakang kereta yang boleh menyebabkan pintu terbuka apabila kenderaan bergerak.
Anggaran Waktu Membaca:
1,300 kereta Toyota Prius ditarik balik di SG akibat risiko pintu terbuka ketika memandu

Pemilik tidak akan dikenakan bayaran bagi kerja-kerja pengubahsuaian wajar terhadap kereta Toyota Prius yang terjejas. (Gambar fail: AP/Toyota Motor Sales USA/Nathan Leach-Proffer)

SINGAPURA: Sekitar 1,300 kereta Toyota Prius ditarik balik di Singapura akibat kerosakan pada sistem kunci elektrik pintu belakang kereta yang boleh menyebabkan pintu terbuka apabila kenderaan bergerak.

Borneo Motors, pengedar sah bagi kereta Toyota di Singapura, menyatakan pada Jumaat (27 Feb) bahawa apabila air mengalir masuk ke dalam suis pembuka pintu, litar pintas mungkin berlaku yang boleh menyebabkan pintu belakang terbuka.

"Jika prestasi pengedap untuk suis itu berkurangan akibat kitaran haba dan terdapat air disebabkan oleh banyak percikan air pada suis (sebagai contoh, di tempat cuci kereta), menutup pintu dengan kuat boleh menyebabkan air mengalir masuk ke dalam suis untuk sementara waktu," menurut Borneo Motors.

"Jika air itu mengandungi bahan pencuci, ia boleh menyebabkan litar pantas yang menyebabkan suis diaktifkan."

Pemilik kenderaan terjejas sedang dimaklumkan menerusi kiriman surat.

Kerja-kerja pembetulan melibatkan pengubahsuaian litar suis pintu belakang kiri dan kanan untuk mengelakkan suis daripada diaktifkan, walaupun ia terpintas, menurut Borneo Motors.

Para pemilik tidak akan dikenakan bayaran bagi kerja-kerja pembetulan sewajarnya, yang boleh disiapkan pada hari yang sama, menurut syarikat itu.

Toyota mengeluarkan arahan penarikan balik bagi kereta Prius hibrid pada Januari lalu di Amerika Syarikat dan Kanada berhubung keprihatinan keselamatan yang serupa.

Hampir 20,000 kereta terjejas.

"Borneo Motors Singapore kekal komited untuk mengekalkan standard keselamatan, kualiti dan ketelusan tertinggi untuk pelanggan kami," menurut syarikat itu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita