Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

130 pekerja cemerlang dari 73 hotel terima Anugerah Baik Budi Kebangsaan 2021

Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan berkata walaupun Singapura berusaha membuka sempadannya, kedatangan pelancong antarabangsa tidak akan bangkit dengan pantas dalam beberapa tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan berkata walaupun Singapura berusaha membuka sempadannya, kedatangan pelancong antarabangsa tidak akan bangkit dengan pantas dalam beberapa tahun ini.

Namun demikian kata beliau, para pekerja perhotelan terus mempamerkan daya kekuatan dan profesionalisme yang tinggi, serta komited kepada khidmat cemerlang dengan penuh berani dan baik budi.

Industri perhotelan kata beliau merupakan antara yang pertama menyahut seruan nasional dengan mentransformasi hotel-hotel menjadi Kemudahan Kuarantin Pemerintah (GQF) atau kemudahan khusus Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) bagi penghidap COVID-19.

"Untuk itu, kami sangat berterima kasih," isytihar Encik Tan, semasa berucap di acara Anugerah Baik Budi Kebangsaan ke-27, hari ini (5 Nov).

130 PEKERJA DARI 73 HOTEL DIIKTIRAF

Dalam acara itu yang diadakan di Hotel Orchard, seramai 130 pekerja cemerlang dari 73 hotel dan lapan tetamu hotel yang baik budi diberi pengiktirafan.

Para pemenangnya meliputi tiga kategori: iaitu Khidmat Emas (Pekerja Biasa), Khidmat Emas (Pengurusan), dan Tetamu Budiman.

Salah seorang pemenang anugerah Khidmat Emas (Pengurusan) ialah Encik Mohammad Kamal, yang berusia 48 tahun.

Penolong Pengurus Keselamatan di Sofitel Singapore dengan 25 tahun pengalaman dalam industri perhotelan itu terpilih kerana komitmen dan dedikasinya.

Hotel tersebut merupakan salah satu Kemudahan Kuarantin Pemerintah (GQF) bagi kes-kes COVID-19 semasa pandemik ini.

TAWAR DIRI KENDALI KEMUDAHAN KUARANTIN PEMERINTAH

Walaupun sibuk mengetuai pasukan keselamatan hotelnya, Encik Kamal secara sukarela menawarkan dirinya untuk menyelaras semua hal berkaitan prosedur menguruskan GQF.

Bahkan, Encik Kamal turut mengambil syif-syif malam bagi memastikan liputan CCTV di tingkat yang mengisi para tetamu dipantau. Pendeknya, dalam memastikan keselamatan pasukannya dalam persekitaran berisiko tinggi COVID-19, banyak cabaran juga dilaluinya demi memastikan keselamatan pelanggan hotel.

"Ada warga emas yang dimasukkan ke dalam kemudahan kita. Ada yang tidak tahu pakai telefon bimbit, ada yang tidak tahu menggunakan penghawa dingin, TV, dan sebagainya. Itu adalah cabaran kata orang itu yang paling, kadang-kadang manis pun ada pahit pun ada," cerita beliau.

"Ada juga pekerja-pekerja asing. Jadi bila mereka dimasukkan di tempat kuarantin ini, mereka sepatutnya mengasingkan diri. Bila rasa gelisah, mereka akan berbual dan mereka akan ketuk pintu teman mereka. Jadi itulah, kita harus sentiasa berwaspada. Jadi pasal kita tidak benarkan mereka berkumpul."

Dalam pada itu, meskipun jadual kerjanya cukup padat, Encik Kamal tetap mencari masa untuk meningkatkan kemahiran. Iaitu dengan mengikuti kursus diploma sambilan dalam bidang Khidmat Pelayanan dan Penginapan dengan Pusat Pendidikan Hotel dan Pelancongan Singapura (SHATEC).

Yang pasti, Encik Kamal sedia berkorban demi pekerjaannya.

"Jadi pengorbanan itu ialah masa - masa dan waktu tidur.

"Kadang-kadang dalam satu hari itu, tidur dalam 5 jam. Ataupun kurang daripada 4 jam kita dapat waktu tidur... Kita kena balik pagi di pejabat dan segalanya mula kembali," kata beliau.

Ditanya pula perasaannya mendapat pengiktirafan cukup bermakna ini, Encik Kamal sebenarnya tidak menyangka terpilih.

"Sesuatu yang mengejutkan. Saya sendiri tidak menjangkakan atau mengharapkan sesuatu... anugerah. Jadi betul-betul tidak menjangkakan," balas karyawan hotel itu.

NURUL AIN TULIS 1,000 NOTA PERANGSANG KEPADA PENGINAP SHN

Turut menjadi antara penerima Anugerah Khidmat Emas (Pekerja biasa) ialah Cik Nurul Ain Mohammad Ayub dari hotel JEN Singapore Tanglin by Shangri-La.

Cik Nurul Ain antara lain diiktiraf kerana sebagai pekerja penyambut tamu di hotel yang mengendalikan klien Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), dia melakukan lebih daripada tugasannya.

Iaitu sehingga kini Cik Nurul Ain sudah menulis lebih daripada 1,000 nota perangsang untuk para penginap SHN di hotelnya.

Perbuatan murninya itu serta sikapnya yang mengambil berat keadaan penginap SHN mendapat banyak maklum balas positif.

"Kesemua maklum balas memuji Ain kerana kebaikan budinya sehingga membuatkan para tetamu hotel gembira dan berasa selesa," menurut pihak penganjur anugerah itu.

8 TETAMU HOTEL TURUT DIIKTIRAF

Selain itu, seramai lapan tetamu hotel turut menerima pengiktirafan hari ini. Antaranya termasuk Encik Theodoric Tam yang merupakan tetamu setia lagi kerap bagi hotel Fairmont Singapore.

Beliau dan isterinya sering berusaha mengenali dan mengingat nama-nama kakitangan hotel yang berurusan dengan mereka.

Encik Tam bukan sahaja sering mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hotel yang membantunya tetapi juga meluangkan masa untuk bertanya khabar.

Meskipun perbuatan tersebut mungkin kecil, ia amat bermakna bagi para kakitangan hotel kerana mendorong mereka untuk terus memberikan yang terbaik kepada setiap tetamu.

Encik Tam dijulang sebagai peran contoh yang menggalakkan sikap baik budi terutamanya ketika masa mencabar kini.

Kesemua pemenang membawa pulang sijil pengiktirafan.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan