Skip to main content

Singapura

130 individu sama ada terima dos vaksin berlebihan atau berkurangan, dedah MOH

Anggaran Waktu Membaca:
130 individu sama ada terima dos vaksin berlebihan atau berkurangan, dedah MOH

Seorang kakitangan jagaan kesihatan mempersiapkan dos vaksin COVID-19 di sebuah pusat vaksinasi di Singapura pada 21 April 2021. (Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

SINGAPURA: Terdapat 130 kes di Singapura di mana individu sama ada diberikan dos vaksin COVID-19 berlebihan atau berkurangan. Perangkaan itu didedahkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH)pada Isnin (3 Okt).

Berucap di Parlimen, Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary berkata bahawa setakat 26 September, 11 orang terjejas oleh pemberian dos vaksin berlebihan manakala 119 orang diberikan dos vaksin berkurangan

Jumlah itu daripada kira-kira 16 juta dos vaksin COVID-19 yang sudahpun diberikan sejak bermulanya penularan pandemik.

Daripada 130 kes tersebut, tujuh melibatkan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun. Mujur, mereka tidak mengalami sebarang kesan sampingan.

Baki kes pula melibatkan orang dewasa yang sama ada tidak mengalami sebarang kesan sampingan atau sudah pulih dengan lancar, kata Dr Puthucheary.

Beliau memberi respons itu menyusuli satu insiden yang berlaku bulan lalu, di mana dua dewasa masing-masing disuntik satu bebuli penuh vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang tidak dicairkan di sebuah klinik di Hougang.
Klinik berkenaan, yang berada di bawah naungan ProHealth Medical Group, serta doktor terbabit yang menyuntik vaksin itu, sudahpun digantung daripada Program Vaksinasi Nasional sehingga diberitahu kelak.

Antara kes lain yang dilaporkan tahun lalu termasuk seorang wanita berusia 103 tahun yang disuntik dos keempat vaksin COVID-19 secara silap serta 111 pesakit dan enam kakitangan di Poliklinik Bukit Merah yang diberikan dos vaksin berkurangan.

Menjawab soalan yang diajukan para Anggota Parlimen (AP) mengenai langkah perlindungan bagi mencegah pemberian dos vaksin COVID-19 yang berlebihan atau berkurangan, Dr Puthucheary menjelaskan semua penyedia di bawah Program Vaksinasi Nasional berlesen serta dikawal selia oleh MOH.

Peraturan tambahan yang menetapkan kriteria kelayakan, pencairan dan pemberian dos yang disyorkan bagi setiap vaksin sudahpun dikeluarkan secara khusus untuk vaksinasi COVID-19.

"Penyedia vaksinasi diharap menilai kecekapan kakitangan masing-masing dalam pemberian vaksinasi COVID-19," tambah beliau.

Dr Puthucheary berkata bahawa sekiranya berlaku sebarang kesilapan dalam pemberian vaksin mahupun kecemasan perubatan berikutan vaksinasi, penyedia vaksinasi dikehendaki melaporkannya kepada MOH selewat-lewatnya tiga jam selepas insiden tersebut.

Para penyedia juga perlu memaklumkan para pesakit dengan serta-merta apabila sudah berlaku kesilapan dalam vaksinasi. Ia juga perlu memantau kesihatan pesakit dengan membuat panggilan harian sepanjang tempoh tujuh hari berikutnya bagi memastikan kesejahteraan mereka.

MOH akan menjalankan siasatan sekiranya berlaku kesilapan atau jika terdapat sebarang isu sistemik. Kementerian itu akan bekerjasama dengan para penyedia vaksinasi untuk menyemak semula dan menambah baik proses kerjanya, tambah Dr Puthucheary.

Beliau berkata MOH buat masa ini masih lagi sedang menyiasat ProHealth Medical Group berhubung insiden berkenaan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita