Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

130,000 penduduk tempatan digajikan 27,000 firma di bawah Inisiatif Pertumbuhan Pekerjaan

Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) sudah membantu 27,000 syarikat menggajikan 130,000 pekerja tempatan dalam tempoh tiga bulan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam Laporan Keadaan Pekerjaan pada Rabu (31 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 Mar 2021 02:48PM Dikemas Kini : 31 Mar 2021 09:42PM

SINGAPURA: Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) sudah membantu 27,000 syarikat menggajikan 130,000 pekerja tempatan dalam tempoh tiga bulan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam Laporan Keadaan Pekerjaan pada Rabu (31 Mac).

Skim subsidi gaji itu menggalak syarikat-syarikat untuk menggajikan lebih ramai rakyat Singapura dan penduduk tetap di tengah-tengah kemerosotan ekonomi akibat COVID-19. Ia diumumkan buat kali pertama pada Ogos tahun lalu dan diperuntukkan untuk lima bulan, sebelum diberikan tambahan S$5.2 juta dalam Belanjawan 2021 dan dilanjutkan hingga September.

JGI sudah membantu meningkatkan pengambilan pekerja tempatan di beberapa syarikat kepada "tahap lebih tinggi berbanding 2019", menurut MOM.

Dari September hingga November tahun lalu, 27,000 syarikat itu menggajikan median dua pekerja tempatan, berbanding seorang pekerja tempatan pada tempoh yang sama setahun lalu.

Hampir enam daripada 10 syarikat menggajikan seorang hingga dua pekerja tempatan, manakala yang lain menggajikan lebih ramai.

Hampir semua syarikat itu adalah syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME). Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata kementerian beliau "amat terdorong" dengan trend tersebut.

Sektor-sektor yang paling banyak mengambil para pekerja itu termasuk perkhidmatan makanan dan runcit, yang menggajikan seorang daripada lima pekerja antara September dengan November. Bidang-bidang pertumbuhan seperti perdagangan borong, khidmat profesional serta maklumat dan komunikasi, membentuk hampir empat daripada 10 mereka yang diambil bekerja.

MOM menyatakan bahawa syarikat-syarikat menggajikan pekerja daripada latar belakang yang luas, termasuk para pekerja matang dan mereka yang tidak bekerja atau dari sektor berbeza.

Sebagai contoh, sekitar separuh 130,000 pekerja itu tidak mempunyai pekerjaan semasa mereka diambil bekerja. Lebih daripada 25 peratus sudah tidak bekerja untuk lebih enam bulan.

Enam daripada 10 sebelum ini bekerja dalam sektor berbeza. Nisbah sama juga mendapat gaji sama atau lebih tinggi berbanding pekerjaan mereka sebelum ini.

Hampir separuh pekerja adalah pekerja matang berusia 40 dan ke atas, manakala 30 peratus berusia 50 dan ke atas.

Kementerian Tenaga Manusia menyatakan ia menggalak syarikat-syarikat "untuk bersikap lebih terbuka" terhadap pencari kerja daripada latar belakang yang pelbagai, di tengah-tengah kadar pengangguran yang merosot dan keadaan pasaran pekerjaan yang "ketat". Ini akan lebih membantu mereka mengisi jawatan kosong dan menyokong perniagaan mereka," menurutnya. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan