13 rakyat S'pura dan penduduk tetap antara 24 kes import COVID-19 hari ini
Singapura melaporkan 24 kes baru COVID-19 pada Khamis (17 Dis), demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Singapura melaporkan 24 kes baru COVID-19 pada Khamis (17 Dis), demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Ia adalah jumlah harian tertinggi sejak 29 Sep, di mana 27 kes baru dilaporkan.
Kesemuanya adalah kes import dan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.
7 RAKYAT S'PURA DALAM KALANGAN KES IMPORT
Tujuh rakyat Singapura dan enam penduduk tetap yang pulang dari Austria, India, Indonesia, Myanmar dan Britain merupakan antara 24 kes import yang dilaporkan hari ini.
Dua pemegang pas kerja dan dua pemegang permit kerja yang bekerja di Singapura dan tiba dari India, Indonesia dan Maldives juga merupakan antara kes import yang dilaporkan.
Selain itu, terdapat lima pemegang pas tanggungan yang tiba dari Britain dan seorang pemegang pas pelajar yang tiba dari India.
Kes terakhir melibatkan seorang pemegang pas khas yang merupakan kakitangan kapal yang tiba dari Indonesia.
Beliau tidak turun dari kapal dan dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans setelah mengalami simptom, menurut MOH.
Tiada jangkitan baru dalam masyarakat dan di dormitori pekerja asing dilaporkan.
14 lagi kes dibenarkan pulang, menjadikan keseluruhan jumlah pesakit yang sudah pulih dan dibenarkan pulang kini sebanyak 58,252.
33 kes masih dirawat di hospital. Sebahagian besarnya dalam keadaan stabil atau beransur pulih dan tiada yang dirawat dalam unit jagaan rapi.
Sebanyak 63 kes dirawat di kemudahan masyarakat.
Singapura melaporkan 58,377 kes COVID-19 setakat Khamis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.