Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

13 kesalahan ditemui semasa pemeriksaan ke atas lori bawa pekerja

Pemeriksaan ke atas lori yang digunakan untuk mengangkut pekerja menemui 13 kesalahan minggu ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis (29 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
13 kesalahan ditemui semasa pemeriksaan ke atas lori bawa pekerja

(Gambar: Facebook/LTA)

Diterbitkan : 29 Apr 2021 11:25PM Dikemas Kini : 29 Apr 2021 11:33PM

SINGAPURA: Pemeriksaan ke atas lori yang digunakan untuk mengangkut pekerja menemui 13 kesalahan minggu ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis (29 Apr).

Kesalahan-kesalahan itu termasuk kegagalan memenuhi syarat tempat duduk dan gagal menyediakan teduhan yang mencukupi untuk penumpang, menurut LTA.

Dalam satu catatan di Facebook, LTA menyatakan pihaknya melakukan operasi penguatkuasaan secara berkala di seluruh negara - termasuk di kawasan perindustrian seperti Sungei Kadut, Penjuru, Tuas dan Toh Guan Road - untuk memastikan lori yang digunakan untuk mengangkut pekerja mematuhi syarat keselamatan.

"Kami sukacita melihat bahawa kebanyakan pemilik dan pemandu lori bertanggungjawab dan patuh," menurut LTA.

Ini setelah dua pekerja hijrahan terbunuh dan 15 lagi cedera minggu lalu, setelah perlanggaran antara sebuah lori dan trak jongket di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE).

Satu lagi kemalangan pada minggu yang sama menyaksikan 10 pekerja cedera setelah sebuah lori terbalik di Upper Bukit Timah Road.

Para majikan dibenarkan menggunakan lori untuk mengangkut pekerja ke tempat kerja, dengan pemandu lori sebegitu perlu mematuhi had laju jalan raya atau 60km/j, mana yang lebih perlahan.

Pekerja yang menaiki lori seperti itu juga tidak boleh melebihi ketinggian 1.1 meter di atas pelantar kenderaan semasa duduk.

Pada 2010, tiga pekerja terbunuh dan enam lagi cedera apabila lori yang mereka naiki terbalik di PIE.

Kemalangan itu mencetuskan semakan pada tahun itu, menyebabkan peraturan diperkenalkan yang mewajibkan lori sedemikian memasang kanopi dan pagar sisi yang lebih tinggi.

Kemalangan yang berlaku baru-baru ini menimbulkan gesaan baru agar amalan membawa pekerja di belakang lori disemak semula.

LTA pada Khamis juga menyatakan bahawa pihaknya menangkap seorang penunggang basikal yang menunggang di Ekspreswe Kranji menuju ke Ekspreswe Bukit Timah di sebelah pagi.

Berbasikal tidak dibenarkan di ekspreswe di sini.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan