Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

13 individu ditahan, perdaya mangsa S$1.3 juta dalam penipuan sewa rumah

Anggaran Waktu Membaca:
13 individu ditahan, perdaya mangsa S$1.3 juta dalam penipuan sewa rumah

Wang yang dirampas oleh polis dalam operasi antipenipuan yang dijalankan di seluruh negara, berakhir pada 13 Mac 2023. (Gambar: SPF)

SINGAPURA: Polis memberkas 13 orang yang disyaki terlibat dalam siri penipuan melibatkan sewa rumah baru-baru ini, menyebabkan wang mangsa berjumlah lebih S$1.3 juta, lesap.

Polis menyatakan pada Selasa (14 Mac) sembilan lelaki dan empat wanita, berusia antara 18 hingga 56 tahun, ditangkap semasa satu operasi penguatkuasaan selama empat hari di seluruh negara, yang berakhir semalam.

"Penipu akan menyamar sebagai ejen hartanah dan akan meminta mangsa untuk membuat pembayaran bagi menjamin sewa sebuah unit rumah sebelum meninjau-ninjau rumah itu, sebagai sebahagian daripada penipuan," menurut polis.

Ia menambah tiga lagi wanita, berusia antara 21 hingga 27 tahun, sedang membantu siasatannya.

Siasatan awal mendedahkan 16 individu dipercayai menerima hasil haram daripada penipuan melibatkan sewa rumah ke dalam akaun bank mereka.

"Mereka dipercayai membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk menerima hasil haram dan mengeluarkan wang itu, yang kemudian diserahkan kepada orang lain dalam sindiket," jelas polis.

"Hasil penipuan berjumlah lebih S$1.3 juta daripada 480 kes penipuan melibatkan sewa rumah lesap melalui pengeluaran wang daripada akaun-akaun bank itu."

Mereka yang membantu individu lain memperoleh hasil daripada kegiatan jenayah boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda tidak melebihi S$500,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menolak permintaan untuk membenarkan akaun bank mereka digunakan bagi menerima atau memindah wang bagi pihak orang lain bagi mengelak daripada terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Ia menambah bahawa orang ramai seharusnya mengambil langkah berwaspadaan apabila membuat janji temu untuk melihat hartanah.

Ini termasuk memuat turun aplikasi ScamShield dan menetapkan ciri-ciri keselamatan seperti had pemindahan wang pada urus niaga perbankan Internet serta menghidupkan pengesahan dua faktor atau berbilang faktor bagi akaun bank, media sosial serta Singpass.

Mereka juga harus memeriksa bagi sebarang tanda penipuan dengan sumber rasmi dan mengesahkan kesahihan penyenaraian hartanah dengan berurusan dengan ejen hartanah hanya dengan menggunakan nombor telefon berdaftar di Majlis Agensi Hartanah (CEA) serta memeriksa jika ejen itu tersenarai dalam daftar awam CEA.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan