Skip to main content

Singapura

13 GSA Individu tawar 30 pakej Haji 2023

Anggaran Waktu Membaca:
13 GSA Individu tawar 30 pakej Haji 2023

Jemaah haji terhad tawaf keliling Kaabah pada 31 Jul 2020 (Gambar fail: SPA/AFP)

Diterbitkan : 10 Feb 2023 08:15PM
BERITAmediacorp: Majlis Ugama Islam Singapura MUIS akan mengeluarkan Surat Tawaran Rasmi (LOO) untuk musim haji 2023 kepada 900 jemaah yang layak mulai Isnin ini (13 Feb).

Bakal jemaah haji akan dimaklumkan melalui SMS dan e-mel untuk menyemak surat tawaran mereka melalui portal MyHajSG.

MUIS berikan masa sehingga 26 Februari ini bagi para bakal jemaah haji pilih pakej haji yang diluluskan hari ini.

Demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan MUIS hari ini (10 Feb).

Untuk mengesahkan tempat mereka untuk Haji 2023 (1444H), jemaah mesti membeli pakej Haji mereka daripada ejen-ejen pelancongan yang dilantik MUIS, serta memenuhi prosedur yang ditetapkan dalam portal MyHajSG.

Pada tahun ini, MUIS telah melantik 13 ejen pelancongan untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan haji kepada semua jemaah bagi musim Haji tahun ini.

Bakal jemaah Singapura boleh memilih daripada 30 pakej haji yang diluluskan MUIS.

Sebanyak 15 pakej merupakan pakej pendek dengan tempoh antara 15 hingga 23 hari.

Bakinya pula adalah pakej jangka panjang dengan tempoh antara 24 hingga 30 hari.

Pakej haji paling murah tahun ini berharga S$8,490 bagi empat orang sebilik dan yang paling mahal berharga kira-kira S$22,645 bagi dua orang sebilik.

Semua harga pakej termasuk harga Masyair (pergerakan jemaah di Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi menunaikan ibadah haji antara 7 hingga 12 Zulhijjah) tetapi tidak termasuk Bantuan Perubatan Kecemasan (EMA), tambang pesawat dan cukai sedia ada.

Menurut MUIS, secara purata harga pakej haji kali ini meningkat sekitar $1,500.

Ini disebabkan cukai kerajaan Arab Saudi dan kos penginapan yang lebih tinggi.

Para bakal jemaah haji digalakkan membeli insurans perjalanan tambahan untuk menambah perlindungan insurans yang disediakan oleh EMA.

Mereka juga diminta meneliti pakej haji yang ditawarkan berdasarkan keperluan serta kemampuan masing-masing.

Bakal jemaah juga dinasihatkan agar membaca dan memahami kandungan Kontrak Pembelian Pakej Haji (HPPC), khususnya ‘jadual pembayaran’ sebelum menandatanganinya.

Ejen pelancongan yang diberi kuasa juga telah dinasihatkan untuk menjelaskan butiran penuh kontrak kepada bakal jemaah haji mereka.


MUIS menambah bahawa bakal jemaah akan menerima Surat Pemilihan Pakej Haji menerusi SMS dan emel di portal MyHajSG.

Bagi menjamin slot Haji mereka, bakal jemaah mesti membeli pakej Haji daripada ejen pelancongan yang diluluskan MUIS, serta memenuhi syarat-syarat prosedur di portal MyHajSG.

MUIS menasihatkan semua bakal jemaah supaya meneliti serta memilih pakej yang sesuai berdasarkan keperluan serta kemampuan masing-masing.

Berikut adalah senarai ejen pelancongan yang dilantik:

(1) AQ Travel & Tours Pte Ltd
(2) Azza Travel & Tours Pte Ltd
(3) Evershine Travel & Services Pte Ltd
(4) Hagel Travel & Tours Pte Ltd
(5) Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd
(6) Halijah Travels Pte Ltd
(7) Hamidah Travel & Tours Pte Ltd
(8) Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd
(9) Noor Mohamad Services & Travel Pte Ltd
(10) Nurhikmah Travel & Tours Pte Ltd
(11) Sha Travel & Tour Pte Ltd
(12) Shahidah Travel & Tours Pte Ltd
(13) TM Fouzy Travel & Tours Pte Ltd

Maklumat mengenai ejen pelancongan dan pakej yang diluluskan pada tahun ini boleh diperolehi di laman go.gov.sg/haj2023packages.
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita