Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

13 bekas penghuni RKM terima biasiswa berjumlah S$19,400 untuk lanjutkan pendidikan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) menganjurkan acara tahunan mengiktiraf pencapaian penghuni-penghuninya di bangunan RKM Pasir Ris selepas berpindah dari RKM Bedok North, tahun lalu. 

Acara tersebut yang diadakan pada Jumaat (17 Jun) turut dihadiri Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean. 

Di acara tersebut, seramai sembilan penghuni diberikan anugerah, termasuk Penghuni RKM Paling Cemerlang, bagi mengiktiraf pencapaian masing-masing.

Selain itu, 13 bekas penghuni pula menerima biasiswa Al-Fatih yang berjumlah $19,400 secara keseluruhannya bagi menggalak bekas penghuninya meneruskan pendidikan ke peringkat posmenengah.

'AHNAF' TERIMA ANUGERAH PENGHUNI RKM PALING CEMERLANG

'Ahnaf' diletakkan di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) pada 2018, semasa usianya baru sekitar 13 tahun, atas perintah penjagaan dan perlindungan kerana didera oleh penjaganya. 

Menurut kakitangan RKM, 'Ahnaf' yang kini berusia 17 tahun, merupakan seorang penghuni yang sangat tertib dan bersopan santun. Malah, mereka berkata bahawa 'Ahnaf' juga pandai menyesuaikan diri kepada struktur RKM. 

Sejak kecil lagi, 'Ahnaf' diarah untuk menjaga adik-adiknya semasa tinggal bersama ibu, bapa tirinya serta lapan lagi adik-beradik lain. 

Baginya, menjadi penghuni di RKM seakan membolehkannya menarik nafas lega kerana di sana, dia dapat memberikan fokus kepada pelajarannya tanpa berasa risau. 

Malangnya buat 'Ahnaf', ibunya meninggal dunia dua tahun lalu disebabkan barah, pada tahun yang sama 'Ahnaf' perlu menduduki peperiksaan peringkat GCE 'N". 

Namun, atas dorongan dan sokongan daripada guru-guru dan para pegawai kebajikan pelajar, 'Ahnaf' menjadi lebih tabah dan mampu untuk mengharungi segala rintangan dan rasa keperitan kerana kehilangan ibunya. 

Dalam pada itu, 'Ahnaf' juga dapat fokus dalam pelajarannya dan terus menduduki peperiksaan. 

Atas ketabahannya itu, 'Ahnaf' berjaya mendapat tempat di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan ingin terus meneruskan pendidikannya dalam jurusan peruncitan. 

Atas segala pencapaian dan sikap positif 'Ahnaf', dia dipilih menerima anugerah Penghuni RKM Paling Cemerlang semasa acara Hari Penghuni anjuran rumah tumpangan itu pada Jumaat (17 Jun). 

Penerimaan anugerah tersebut buat 'Ahnaf' juga tidak mengejutkan kerana 'Ahnaf' merupakan peran contoh kepada para penghuni lebih muda daripadanya di RKM. 

'Ahnaf' kini di bawah penjagaan ayah kandungnya sejak Mac lalu dan disokong oleh biasiswa Al-Fatih. 

13 BEKAS PENGHUNI RKM TERIMA BIASISWA AL-FATIH

Selain Anugerah Penghuni RKM Paling Cemerlang, biasiswa Al-Fatih juga diberikan kepada 13 bekas penghuni RKM. 

Biasiswa itu bertujuan menggalak bekas penghuninya meneruskan pendidikan ke peringkat posmenengah. 

Sejak diperkenalkan pada 2012, lebih 80 anugerah biasiswa itu sudah diagihkan.

Antara penerima biasiswa Al-Fatih itu tahun ini ialah Elfie, 22 tahun. 

'Elfie' diletakkan di RKM pada 2017, semasa usianya 17 tahun. Pada waktu itu, dia merupakan seorang pelajar Nitec tahun pertama di ITE, dalam jurusan Desain Produk. 

Pada 2018, 'Elfie' berjaya lulus daripada ITE dengan gred purata (GPA) sebanyak 3.5 mata. Keputusannya itu berjaya mendapatkannya tempat di Maktab Seni LASALLE di mana 'Elfie' meneruskan pendidikannya dalam jurusan Seni. 

Sejak menjadi penuntut di LASALLE, 'Elfie' perlu bekerja sambilan masa bagi menyokong kehidupannya dan agar dapat membayar segala keperluan pembelajarannya. 
 
Menurutnya, biasiswa Al-Fatih  akan dapat membantu beliau meringankan beban kewangan untuk membayar keperluan pembelajarannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan