Skip to main content

Singapura

13 bahan psikoaktif baru disenarai sebagai dadah terkawal Kelas A

Anggaran Waktu Membaca:
13 bahan psikoaktif baru disenarai sebagai dadah terkawal Kelas A

(Gambar: CNB)

Diterbitkan : 31 May 2022 09:38PM

SINGAPURA: Sebanyak 13 bahan psikoaktif baru (NPS) akan disenaraikan sebagai dadah terkawal Kelas A mulai Rabu (1 Jun).

Demikian menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Selasa (31 Mei). 

Berikutan penyenaraian dadah-dadah itu di bawah Jadual Pertama Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), mengedar, menghasilkan, mengimport, mengeksport, memiliki atau menggunakan bahan-bahan tersebut adalah salah di sisi undang-undang. 

Sesiapa yang didapati bersalah mengedar dadah terkawal Kelas A akan berdepan dengan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan lima sebatan rotan. Mereka juga boleh dikenakan hukuman lebih berat sekiranya mereka mengulangi kesalahan sedemikian atau menjual bahan-bahan tersebut kepada golongan muda atau yang mudah terjebak dengan dadah, menurut CNB. 

"CNB juga akan diberi kuasa untuk memastikan penyalah guna NPS dipantau, menghantar mereka ke pusat pemulihan dadah (DRC) bagi rawatan dan pemulihan atau mendakwa mereka di mahkamah."

Senarai lengkap bahan psikoaktif baru boleh didapati di laman web CNB.

Biro berkenaan menekankan bahawa terdapat "peningkatan pesat" pada jumlah, jenis dan ketersediaan NPS di seluruh dunia.

Laporan yang dikeluarkan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah pada Januari 2022 mengenal pasti sekurang-kurangnya 1,124 NPS pada hujung 2021. 

"Kebanyakan NPS tersebut dilaporkan dalam jurnal-jurnal luar negara sebagai tidak mempunyai kegunaan perubatan yang sah. Penyalahgunaan dadah tersebut dikaitkan dengan tindak balas fizikal dan psikologi yang buruk, termasuk paranoia, sawan, halusinasi dan bahkan juga kematian," menurut CNB. 

"Sebilangan besar NPS yang dilaporkan di luar negara kini dikawal di bawah MDA." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita