Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

13,000 pasangan raih manfaat inisiatif Bersamamu sepanjang 2 tahun

Dalam masa dua tahun, hampir 13,000 pasangan sudah menyertai dan meraih manfaat daripada program Bersamamu.

Anggaran Waktu Membaca:
13,000 pasangan raih manfaat inisiatif Bersamamu sepanjang 2 tahun

Gambar hiasan pasangan mempelai menyarungkan cincin perkahwinan. (Gambar: BERNAMA)

SINGAPURA: Dalam masa dua tahun, hampir 13,000 pasangan sudah menyertai dan meraih manfaat daripada program Bersamamu.

Program bimbingan perkahwinan untuk pasangan Melayu/Islam itu mula dilancarkan pada Julai 2019.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkongsi perkembangan itu dalam satu acara hibrid 'Terus Bersamamu' bagi meraikan ulang tahun kedua program itu pada Jumaat (22 Okt).

Inisiatif oleh Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berserta rangkaian M³ itu bertujuan memberi sokongan menyeluruh kepada pasangan dalam membina rumahtangga mereka.

Menurut Dr Faishal, jangkauan program itu kini lebih luas lagi di media sosial menerusi laman khas Facebook, Bersamamu.

Sejak dibangunkan pada awal tahun ini, laman kumpulan privet itu sudah disertai lebih 400 anggota.

Semasa menyampaikan ucapannya di acara yang berlangsung di Balai Rakyat Nee Soon Central, Dr Faishal turut menekankan tentang pentingnya unit keluarga yang utuh.

Kata beliau, ia dapat melahirkan individu yang bingkas dan membangunkan masyarakat yang kukuh.

Oleh itulah menurut Dr Faishal, program seperti Bersamamu begitu penting.

"Di Singapura, keluarga merupakan tunggak utama di mana anggota keluarga saling menyokong antara satu sama lain ketika melalui pasang surut kehidupan. Keluarga yang kukuh menghasilkan individu yang berdaya tahan dan cemerlang," kata Dr Faishal.

Acara bersempena ulang tahun Bersamamu yang dianjurkan bersama ROMM dan Muis dengan kerjasama M³ dan MSF itu turut meraikan kumpulan pertama 1,500 pasangan yang bakal menamatkan tempoh dua tahun mereka bersama program itu.

Ramai di antara mereka bakal melangkah ke fasa seterusnya dalam alam perkahwinan iaitu menjadi ibu bapa.

Dr Faishal juga berharap para pasangan dan bakal ibu bapa itu dapat menghargai dan melindungi nilai-nilai murni masyarakat dan wajar diterapkan seawal mungkin melalui program Bersamamu.

Mereka juga turut digalak berkongsi apa yang dipelajari daripada program tersebut untuk dimanfaatkan para pasangan lain dan untuk terus mendapatkan bimbingan daripada golongan asatizah, khususnya Kadi dan Naib Kadi.

"Saya ingin memberi jaminan kepada pasangan-pasangan hari ini bahawa kami akan Terus Bersamamu, untuk memberikan sokongan dalam perjalanan perkahwinan anda.

"Saya akur perjalanan dalam alam perkahwinan tidak selalunya lancar. Malah tiada perkahwinan atau keluarga yang sempurna. Kita tidak
seharusnya mudah berputus asa, tidak kira betapa kuat ribut atau badai melanda. Ia menjadikan kita lebih kuat dan yakin untuk menghadapi cabaran dan rintangan yang mendatang," kata Dr Faishal.

Dalam pada itu, Dr Faishal turut mengalu-alukan masyarakat supaya lebih prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik dan untuk menyumbang kembali kepada golongan yang memerlukan.

"Keprihatinan ini telah membantu kita mengatasi pelbagai krisis. Inilah yang menjadikan Singapura sebuah negara yang unik lagi sesuai untuk membesarkan keluarga, dengan adanya pelbagai peluang bagi anak-anak kita dan generasi mendatang. Mari kita hargai dan lindungi nilai-nilai mulia ini," tambah Dr Faishal.

Dr Faishal turut melahirkan penghargaan beliau buat para Kadi dan Naib Kadi, ROMM, MSF serta M³ yang bergabung tenaga bagi menjayakan usaha tersebut.

FORUM RUMAHTANGGA BINCANGKAN CABARAN TAHUN-TAHUN AWAL PERKAHWINAN

Sempena acara ulang tahun itu, sebuah forum berjudul 'Rumahku, Syurgaku' juga dianjurkan.

Dipengerusikan Naib Kadi Ustaz Khairil Amri, ia menampilkan barisan panelis yang dianggotai Dr Faishal sendiri, Naib Kadi Ustaz Nuzhan Abdul Halim, Naib Kadi Ustaz Ahmad Khushairi Abidin serta pakar psikoterapi dan konsultan klinik, Cik Maimunah Mosli.

Sepanjang satu setengah jam, para panelis rancak membincangkan isu-isu yang dihadapi para pasangan seperti cabaran yang lazim dihadapi dalam dua tahun pertama perkahwinan mereka. Mereka juga berkongsi tip-tip berguna bagi memupuk keluarga yang penyayang.

Sebelum mengakhiri acara, Pendaftar ROMM Ustaz Nor Razak Bakar mengingatkan para pasangan bahawa mereka boleh memanfaatkan peluang berinteraksi dengan kadi atau naib kadi dengan sebaik-baiknya. Mereka boleh menghubungi kadi atau naib kadi jika mereka memerlukan nasihat dan bimbingan.

"Saya merasa gembira kerana sokongan dan sambutan baik yang ditunjukkan oleh masyarakat terhadap inisiatif Bersamamu. ROMM akan meneruskan usaha untuk memperbaiki inisiatif ini demi lebih memperkukuh keluarga Islam kita," kata Ustaz Nor Razak.

Acara anjuran bersama ROMM dan Muis dihadiri sekitar 20 hadirin secara fizikal dan 280 pasangan secara online menerusi Facebook Live laman M³.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan