125 diberkas terlibat pelbagai jenayah dalam operasi 5 hari
Seramai 125 orang diberkas atas pelbagai kesalahan, dalam satu operasi selama lima hari yang dijalankan bersama oleh lima agensi pemerintah.
Seorang suspek diberkas dalam operasi lima hari (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Seramai 125 orang diberkas atas pelbagai kesalahan, dalam satu operasi selama lima hari yang dijalankan bersama oleh lima agensi pemerintah.
Menurut kenyataan media pada Sabtu (27 Okt), operasi dijalankan antara 22 hingga 26 Oktober dan merangkumi kawasan-kawasan Tuas, Jurong West, Choa Chu Kang, Bukit Panjang, Bukit Batok dan Woodlands.
Para suspek berusia antara 18 hingga 62 tahun dan menurut pihak polis, siasatan ke atas mereka sedang dijalankan.
Mereka termasuk 47 wanita yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan maksiat di kediaman, serta kesalahan berhubung pekerjaan di tempat-tempat hiburan.
Seramai 17 suspek - 14 lelaki dan tiga wanita - ditangkap atas kesalahan penipuan e-dagang dan jenayah komersil. Siasatan awal polis menunjukkan mereka dipercayai terlibat dalam 60 kes yang menyebabkan para mangsa kehilangan lebih S$356,000.
61 suspek yang lain diberkas atas dakwaan terlibat dalam pelbagai jenayah berhubung pinjaman wang haram, imigresen, pencabulan kehormatan, rompakan dan jenayah lain.
Pihak polis turut mendedahkan sebanyak 4,332 paket rokok tanpa cukai dirampas. Jumlah cukai keseluruhan serta cukai barangan dan perkhidmatan yang dielakkan masing-masing bernilai S$43,980 dan S$3,190.
Operasi tersebut diterajui Divisyen Polis Jurong dan disokong Biro Narkotik Pusat (CNB), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Kastam Singapura.
Ketua Divisyen Polis Jurong merangkap Penolong Pesuruhjaya Polis Devrajan Bala, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi itu.
"Operasi bersama ini sebahagian usaha berterusan pihak polis untuk membanteras aktiviti jenayah," kata beliau menerusi kenyataan media.
"Sedang polis bekerjasama rapat dengan agensi-agensi lain Home Team dan penguasa undang-undang untuk menangani mereka yang terlibat dalam kegiatan haram, kami juga menggesa orang awam supaya berwaspada agar tidak menjadi mangsa jenayah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.