Skip to main content

Singapura

12,000 tempat cas EV akan dipasang di tempat letak kereta HDB jelang hujung 2025

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Nov 2022 03:12PM Dikemas Kini : 02 Nov 2022 11:06PM

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 12,000 tempat mengecas kenderaan elektrik (EV) akan dipasang di merata tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang hujung 2025. 

Demikian diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu (2 Nov). 

LTA mengeluarkan tender kepada lima syarikat utama bagi pemasangan tempat mengecas EV, merangkumi hampir 2,000 tempat letak kereta HDB di merata Singapura. Apabila siap kelak, setiap bandar HDB akan mesra EV, menurut LTA. 

Lima syarikat yang diberikan tender akan bertanggungjawab bagi pemasangan tempat mengecas EV di tempat letak kereta di utara, timur laut, timur, barat dan tengah Singapura. 

"Untuk mengukuhkan lagi daya tahan rangkaian mengecas EV, setiap kawasan diberikan kepada dua syarikat, dan setiap syarikat diberikan tender untuk dua kawasan," dedah LTA. 

Tender yang dilancarkan pada April itu disifatkan sebagai "detik penting" dalam rancangan LTA untuk memperhebatkan prasarana mengecas EV. 

Pemerintah menetapkan sasaran untuk memasang 60,000 tempat mengecas EV di merata Singapura menjelang 2030, dengan 40,000 daripadanya dipasang di tempat letak kereta awam dan lagi 20,000 di premis-premis privet. 

LTA menerima 11 bidaan daripada "pelbagai pengendali cas EV", menurutnya, sambil menambah bahawa syarikat-syarikat berkenaan dinilai berdasarkan gabungan beberapa faktor, seperti mutu pelan mereka. 

Ini termasuk pemahaman syarikat tersebut mengenai proses pemasangan tempat mengecas EV, model perniagaan yang dirancangkan, pemahaman mereka tentang tawaran pasaran kini serta keupayaan untuk menawarkan harga yang berdaya saing. 

"Selain itu, sebagai sebahagian daripada pemeriksaan mutu pelan mereka, syarikat-syarikat itu juga dinilai berdasarkan keupayaan untuk menggunakan kapasiti bekalan elektrik dengan baik untuk menjana tempat mengecas EV," menurut LTA. 

"Ini akan membantu meluaskan liputan rangkaian mengecas EV di tempat letak kereta Singapura dengan keupayaan bekalan elektrik yang terhad. LTA juga akan bekerja rapat dengan syarikat-syarikat yang diberikan tender untuk memasang tempat mengecas EV." 

Pada Mac, LTA menyatakan syarikat yang diberikan tender perlu memasang sekurang-kurangnya tiga hingga enam tempat mengecas di tempat letak kereta yang ditetapkan menjelang hujung 2025. 

Mereka juga boleh meningkatkan pemasangan tempat mengecas di setiap tempat letak kereta kepada sehingga 12 sepanjang tempoh tersebut. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita