Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

120 penduduk Yuhua beramai-ramai derma kepada Tabung Amal Aidilfitri di WGS

120 pemimpin akar umbi dan penduduk dari Kawasan Undi Perseorangan Yuhua beramai-ramai pergi ke Wisma Geylang Serai (WGS) hari ini (1 Jun) untuk menyalurkan sumbangan kepada Tabung Amal Aidilfitri (TAA).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 120 pemimpin akar umbi dan penduduk dari Kawasan Undi Perseorangan Yuhua beramai-ramai pergi ke Wisma Geylang Serai (WGS) hari ini (1 Jun) untuk menyalurkan sumbangan kepada Tabung Amal Aidilfitri (TAA).

Bahkan rombongan tersebut sanggup menyewa bas dan melakukan perjalanan dari kawasan barat daya Singapura ke WGS pada pagi hujung minggu. Semua ini bagi menyemarakkan dan memupuk semangat memberi demi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik, terutama sekali dalam bulan suci ini.

Rombongan tersebut dipimpin Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu yang juga merupakan Anggota Parlimen SMC Yuhua.

Sebaik sahaja tiba di pekarangan WGS, kehadiran rombongan itu disambut meriah dengan paluan kompang yang mengiringi mereka ke kotak derma TAA.

Cik Fu sendiri memulakan pendermaan ke kotak derma TAA sebelum para pemimpin akar umbi dan penduduk dari berbilang kaum kemudian satu-persatu memasukkan sumbangan masing-masing.

"Bulan Ramadan sangat bermakna bagi rakan-rakan Muslim kami. Namun yang paling utama dalam bulan ini adalah untuk merenung kembali ajaran Islam, tentang pentingnya bersama-sama membantu mereka yang dalam kesusahan. Dan rombongan dari Yuhua ini ingin menunjukkan sokongan kami kepada masyarakat dan rakan-rakan Muslim kami," kata Cik Fu dalam ucapannya semasa di pondok TAA.

Semua derma yang disalurkan rombongan tersebut merupakan sumbangan ikhlas dari kocek para pemimpin akar umbi dan penduduk sendiri.

"(Usaha seperti) ini penting bagi kita - sebuah negara yang berbilang kaum - untuk semua kaum diwakili, untuk kita berdiri padu dengan teman-teman Muslim kita," tambah Cik Fu.

TAA turut menyifatkan inisiatif menderma secara beramai-ramai itu sebagai "melambangkan usaha kolektif dan sokongan daripada masyarakat berbilang kaum bagi membantu golongan kurang bernasib baik".

Dalam kemeriahan acara serba sederhana tengah hari tadi juga, Cik Fu turut merakamkan ucapannya bagi mewakili SMC Yuhua kepada masyarakat Muslim di Singapura: "Kita ingin mengucapkan semua kawan-kawan Muslim kita Selamat Berpuasa dan juga ucapan awal Selamat Hari Raya!" 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan