Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

120 asatizah kini dampingi pesalah Muslim di penjara di bawah FITRAH

80 daripada daripada asatizah itu melakukan kerja sukarela itu secara kerap.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sehingga 120 asatizah kini mendampingi pesalah-pesalah Muslim di penjara di bawah program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (FITRAH).

80 daripada daripada asatizah itu melakukan kerja sukarela itu secara kerap.

Bagaimanapun Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini (13 Mac) menyeru agar lebih ramai lagi asatizah tampil untuk membantu membimbing golongan tersebut.

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian watikah pelantikan asatizah FITRAH di Masjid Ar-Raudhah.

80 ASATIZAH TERIMA SURAT WATIKAH

Di majlis itu, seramai 80 asatizah menerima surat watikah pelantikan masing-masing selaku sukarelawan FITRAH dari Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim.

Kini, pelantikan mereka sebagai pembimbing kepada golongan banduan berkuat kuasa selama dua tahun, berbanding setahun sahaja sebelum ini.

watikah

Antara tugas kumpulan ustaz dah ustazah itu termasuklah menjadi khatib ataupun kaunselor keagamaan di dalam penjara.

Dalam kalangan asatizah yang sudah berkhidmat sebagai Khatib di penjara sejak hampir 10 tahun lalu ialah Ustaz Effendi Suparde.

Beliau menyifatkan langkah melanjutkan tempoh khidmat kepada dua tahun sebagai dapat membantu asatizah "membiasakan diri" dengan para pesalah yang dibantu.

ustaz effendi

"Kita dapat lebih kenal mungkin dengan saudara-saudara kita di sana. Lebih-lebih lagi waktu sekarang ini tengah COVID, kita tak boleh pergi ke tempat blok yang lain, jadi kita mungkin sering di sana.

"Itu memberikan pengenalan yang lebih kepada saudara-saudara kita di dalam insya-Allah," kata Ustaz Effendi, yang juga menulis khutbah bagi khalayak pesalah di penjara, di bawah FITRAH.

AKUR ADA CABARAN TERSENDIRI

Menjadi sukarelawan di penjara sememangnya ada cabarannya tersendiri, akui kaunselor agama FITRAH Ustazah Laila Abu Hassan yang sudah hampir 20 tahun berbuat demikian.

"Dululah waktu baru mengajar, maksudnya kita belum faham mereka sangat, kemudian kelas ramai sangat jadi saya ini, saya nak berdisiplin, tegaslah bila saya mengajar, kena perhatikan, dengar.

ustazah laila

"Memang dia orang suka, dia orang ini beri maklum balas buat kita jadi semangat nak mengajar," ujar Ustazah Laila, yang juga mempunyai diploma dalam jurusan kaunseling.

Namun demikian, sifat keibuannya tetap menyerlah.

ustazah laila

"Saya selalu tekankan bila kita sampaikan dari hati kita, mereka akan terima dari hati. Kita kena rasa sayang dekat mereka, kita kena ada rasa nak tolong mereka, insya-Allah. Selalu sangka baiklah, saya selalu ingat begitu," kongsi beliau.

LEBIH RAMAI ASATIZAH SUKARELAWAN DIPERLUKAN

Bagaimanapun Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir membayangkan bilangan asatizah yang perlu dilibatkan untuk memberikan kaunseling dalam FITRAH nampaknya tidak mencukupi.

mufti

"Lebih ramai diperlukan sebab beberapa keterbatasan disebabkan sekatan COVID misalnya. Kami perlukan lebih ramai sukarelawan, kami perlukan lebih ramai asatizah.

"Kerana dakwah kepada orang awam tidak sama berdakwah kepada mereka yang mempunyai latar belakang dalam kumpulan yang ditujukan oleh FITRAH, satu cabaran yang sangat besar," kata beliau.

Sejak dimulakan pada 2019, FITRAH sudah membantu sekitar 530 pesalah dan 2,600 keluarga.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan