Skip to main content

Singapura

12 warga asing ditangkap dalam serbuan di dormitori pekerja hijrahan Woodlands

Anggaran Waktu Membaca:
12 warga asing ditangkap dalam serbuan di dormitori pekerja hijrahan Woodlands
Suspek-suspek yang ditangkap semasa serbuan di sebuah asrama pekerja hijrahan di Woodlands, duduk di lantai dengan barang milik mereka disimpan dalam beg di hadapan mereka pada 28 Nov 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Diterbitkan : 28 Nov 2025 10:44PM Dikemas Kini : 28 Nov 2025 11:29PM
SINGAPURA: 12 lelaki warga asing diberkas kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah dalam serbuan selama lebih empat jam sepanjang malam di sebuah dormitori pekerja hijrahan di utara Singapore.

Hasil maklumat yang diterima, pegawai dari Biro Narkotik Pusat (CNB), bersama pihak berkuasa lain, menjalankan operasi di dormitori Woodlands itu dari lewat Khamis (27 Nov) hingga awal pagi Jumaat di tengah-tengah hujan lebat.

Seramai 11 warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar yang diberkas berumur antara 23 hingga 40 tahun. Salah seorang daripada mereka, seorang lelaki Bangladesh berusia 34 tahun, ditangkap kerana disyaki mengedar dan menyalahgunakan dadah, menurut CNB dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Buat pertama kalinya, pihak media dibenarkan mengikuti para pegawai semasa operasi penguatkuasaan di dormitori. Walaupun ia diketuai oleh CNB, operasi itu juga melibatkan Pasukan Polis Singapura, Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Kementerian Tenaga Manusia dan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) sebagai sebahagian daripada usaha untuk membanteras aktiviti haram, termasuk kesalahan dadah dan jenayah lain.

Lapan wartawan mengikuti puluhan pegawai CNB - sesetengahnya berpakaian preman, yang lain memakai rompi - semasa mereka menggeledah bilik penginapan pekerja hijrahan.

Selepas tengah malam, apabila hujan lebat mula reda, media dibenarkan masuk ke dua bilik di mana suspek ditangkap setelah kawasan tersebut dijamin selamat.

Di bilik pertama, yang terletak di tingkat dua sebuah blok, lima lelaki diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah. Beberapa orang duduk sebaris di lantai dengan barang milik mereka - telefon bimbit, dompet dan Kad Pengenalan - diletakkan dalam beg di hadapan mereka.

Bilik itu mengandungi enam katil dua tingkat yang disusun sepanjang tiga dinding. Katil tersebut, yang dilihat penuh dengan longgokan barang, dipisahkan oleh lokar logam yang digantung dengan penyangkut dan pakaian, dengan beg bagasi diletakkan di atasnya.

Di depan media, beberapa suspek diarahkan untuk menunjukkan lokar atau katil mereka, di mana para pegawai yang menggunakan sarung tangan memeriksa barang milik mereka dengan teliti.

Seorang pegawai memeriksa longgokan pakaian dan pelbagai barang yang disimpan dalam lokar bertingkat, dibantu oleh pegawai lain yang menyinarkan lampu ke dalam ruang tersebut. Suspek memerhatikan tindakan itu dan menjawab soalan tentang barang-barang dan tempat dia tidur.

Seorang pegawai lain menurunkan sebuah beg pakaian hitam daripada bahagian atas lokar ke lantai, di mana beliau dan seorang lagi pegawai memeriksa bahagian dalam dan pelapik beg. Mereka nampaknya tidak menemui sebarang barang penting.

Para pegawai juga memeriksa longgokan barang atas katil sambil suspek memerhatikannya. Beberapa barang dimasukkan ke dalam beg yang boleh dikedap, yang kemudian diletakkan label.

Sementara itu, tujuh penghuni bilik yang lain duduk diam dalam dua baris berhampiran pintu sambil menunggu operasi itu selesai.

Dalam masa 10 minit, suspek diminta berdiri dan diiringi keluar dari bilik.

Apabila pihak media memasuki bilik kedua, yang berada di tingkat bawah blok berasingan, seorang lelaki sedang duduk di lantai di sudut bilik itu, dikelilingi oleh pegawai-pegawai CNB. Bentuk bilik itu serupa dengan bilik pertama, dengan pakaian tergantung di dinding.

Lelaki itu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan para pegawai sementara penghuni-penghuni lain duduk dengan tenang di sekitar bilik, sambil memerhatikan operasi tersebut.

Lelaki itu digari tidak lama kemudian.

Pegawai-pegawai dilihat meletakkan barang-barang berwarna kuning dan merah yang disyaki digunakan untuk mengambil dadah - termasuk botol kaca, straw yang dipotong dan tiub getah dengan bahagian mulut - ke dalam beg terkedap.

Sama seperti bilik pertama, pegawai-pegawai memeriksa bagasi yang mengandungi pakaian, kasut dan beg-beg kecil, sementara yang lain memeriksa wang tunai, bil-bil dan kad-kad dalam dompet suspek sebelum meletakkannya, bersama telefon bimbitnya, ke dalam beg terkedap.

Barang-barang itu kemudian diletakkan dalam beg yang lebih besar bersama barang bukti lain.

Setelah para pegawai selesai menggeledah beg-beg tersebut, mereka mengembalikan semua kandungan dan meletakkannya di tepi.

Keseluruhan operasi mengambil masa kira-kira 10 minit. Selepas itu, suspek dibantu berdiri dan dibawa keluar dari bilik berkenaan.

Suspek-suspek tersebut kemudian dibawa ke kawasan lain di dormitori untuk diproses sebelum dibawa pergi dalam van. Pihak media melihat empat suspek, setiap seorang diiringi oleh seorang pegawai, diletakkan dalam dua van berasingan yang kemudian meninggalkan pekarangan dormitori tersebut.

Bercakap kepada media di luar operasi tersebut, Superintenden Xanthus Tong Hyeng Ji, Timbalan Pegawai Pemerintah Bahagian Penguatkuasaan J CNB berkata, CNB tetap komited untuk menegakkan penguatkuasaan undang-undang dadah dan melindungi masyarakat, termasuk pekerja hijrahan.

"Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha penguatkuasaan undang-undang terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta aktiviti jenayah dan haram yang lain. Aktiviti sedemikian tidak akan diterima dan mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan sewajarnya," kata Encik Tong.

"Dadah tidak ada tempat di Singapura - sama ada dalam masyarakat, tempat kerja, atau kediaman. Usaha penguatkuasaan kami tertumpu kepada pengesanan awal dan campur tangan segera. Pengesanan awal membolehkan kami menangani sebarang risiko - sama ada dalam bentuk penyalahgunaan dadah atau aktiviti haram - dengan segera, dan mencegah ia menular, memandangkan dadah memudaratkan dan boleh menyebabkan ketagihan."

CNB menyatakan bahawa siasatan ke atas semua suspek yang diberkas sedang dijalankan.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita