12 pusat beli-belah kejiranan akan ada tempat cas kenderaan elektrik mulai 10 Sep
Gambar: TODAY
SINGAPURA: Sebanyak 36 tempat mengecas baru bagi kenderaan elektrik (EV) akan dipasang di 12 pusat beli-belah syarikat hartanah Frasers Property Retail di merata negeri seperti Waterway Point dan Northpoint City mulai September tahun ini.
Setiap pusat beli-belah itu akan mempunyai sehingga lima tempat mengecas kenderaan elektrik, menurut Frasers Property Retail dalam satu kenyataan pada Isnin (28 Mac). Langkah itu bagi mencerminkan "komitmennya untuk menjadi syarikat sifar karbon menjelang 2050, tambah kenyataan tersebut.
Pengumuman itu dibuat beberapa minggu selepas pihak berkuasa menyatakan pada 3 Mac bahawa semua bandar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menjadi mesra kenderaan elektrik menjelang 2025, dengan sekurang-kurangnya tiga tempat mengecas dipasang di 2,000 tempat meletak kereta.
Frasers menyatakan pada Isnin (28 Mac) bahawa ia akan bekerjasama dengan pembekal khidmat Charge+, SP Group dan Tesla untuk menyediakan stesen mengecas itu di pusat beli-belah di bahagian utara, tengah dan timur Singapura dalam dua fasa.
Ketua pegawai operasi Frasers Property Retail, Tan Kee Yong, berkata akses kepada stesen mengecas itu adalah "kunci bagi penggunaan EV secara lebih meluas, terutama sekali apabila pemandu boleh menikmati kemudahan tambahan mengecas kenderaan EV dengan pantas".
Menurut Frasers, tempat-tempat mengecas itu akan membolehkan pemandu mengecas penuh kenderaan mereka dalam masa 30 minit.
Fasa pertama pemasangannya dijangka siap menjelang September tahun ini dengan sebanyak 27 tempat mengecas disediakan di lapan pusat beli-belah. Ia termasuk penggunaan pertama pengecas Charge+ Turbo dan stesen Tesla Supercharger di pusat beli-belah Waterway Point bagi penduduk di Punggol.
Selain dari Waterway Point, pusat beli-belah lain yang akan siap di bawah fasa pertama ialah:
Northpoint City di Yishun
Tiong Bahru Plaza
Century Square di Tampines
Causeway Point di Woodlands
White Sands di Pasir Ris
Tampines 1
Centrepoint di Orchard Road
Frasers tidak memberikan butiran lanjut bila fasa kedua akan selesai dan Mediacorp difahamkan bahawa ia masih dalam perbincangan.
Pusat beli-belah di bawah fasa kedua ialah:
Changi City Point
Eastpoint Mall di Simei
Hougang Mall
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.